Ramadan: Hanya tiga lokasi dibenar agih makanan kepada gelandangan di Kuala Lumpur
Hafizi Rosli
April 10, 2021 11:56 MYT
April 10, 2021 11:56 MYT
Kuala Lumpur: Hanya tiga lokasi dibenarkan untuk badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan atau individu yang berhajat untuk mengagihkan makanan kepada golongan miskin serta gelandangan di ibu negara sempena Ramadan ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperincikan lokasi berkenaan adalah Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang; Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit.
"Selain tiga lokasi itu, NGO atau individu berkenaan tidak dibenarkan mengedarkan sumbangan di sekitar ibu kota tanpa kebenaran DBKL.
"Tindakan boleh dikenakan sekiranya gagal dipatuhi," menurut kenyataan DBKL pada Jumaat.
Ia bagi memastikan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi pihak yang terlibat.
Menurut kenyataan itu lagi, aktiviti sumbangan dan pengagihan makanan sempena Ramadan yang dijalankan tanpa kawal selia DBKL sebelum ini menimbulkan masalah lambakan sumbangan yang menyumbang kepada pembaziran dan kekotoran.
Katanya, aktiviti pengagihan makanan itu kelihatan tidak dapat dikawal terutamanya pada bulan Ramadan.
Kepada individu dan NGO yang ingin menyumbang, boleh menghubungi DBKL di talian 03-26176321 bagi tujuan kawal selia dan pengaturan jadual pengagihan.