Ramadan di Taipei bukan lagi asing buat Reezal Esa

Astro Awani
April 24, 2022 18:03 MYT
Reezal Esa berhijrah ke Taipei, Taiwan pada 2014 selepas menerima tawaran bertugas sebagai Pengurus Kreatif di sebuah syarikat perundingan perhubungan awam antarabangsa. - Foto ihsan Reezal Esa
KUALA LUMPUR: Pejam celik, pejam celik genap lapan tahun Reezal Esa menyambut Ramadan sebagai anak perantauan di Taiwan.
Selepas dua tahun bertugas di Shanghai, Reezal berhijrah pula ke Taipei, Taiwan pada 2014 yang ditawarkan bertugas sebagai Pengurus Kreatif di sebuah syarikat perundingan perhubungan awam antarabangsa.
Bercakap tentang akses untuk mendapatkan makanan halal dan kemeriahan Ramadan di Taiwan, jelas Reezal, dia bersyukur kerana dapat menyesuaikan diri di negara itu kerana rakyatnya yang cukup peramah dan industri makanan halal juga giat berkembang.
“Kini, umat Islam di sini mempunyai pelbagai pilihan restoran halal yang dimajukan orang Islam dari negara lain dan orang tempatan.
“Saya bertuah dapat menetap di daerah Gongguan yang mempunyai pelbagai pilihan makanan halal kerana berdekatan dengan kampus-kampus universiti yang mempunyai ramai pelajar dari negara-negara Islam.
“Selain menu Arab, makanan Islam yang popular di Taiwan ialah beef noodle dan dumpling yang merupakan menu tradisi Islam dari tanah besar China yang diusahakan orang tempatan.
“Ada juga restoran yang menyediakan menu Thailand halal. Tak lupa juga toko-toko (gerai) Indonesia yang menawarkan nasi dan lauk pauk yang mirip hidangan Malaysia sepert rendang, nasi goreng dan mee goreng," kata Reezal berkongsi cerita dengan Astro AWANI.
Reezal turut berkongsi kisah menarik rakannya yang juga seorang wanita Melayu, Nur Adibah Adammi nekad membuka restoran halal yang mendapat sambutan di kalangan orang tempatan di sana.
“Restoran Malaysia Kitchen in Taipei menyediakan pelbagai variasi nasi lemak, laksa, roti jala dan kuih-muih seperti ketayap, karipap dan seri muka.
“Beliau juga gigih menyediakan tempahan katering. Bagi mereka yang ingin memasak sendiri, daging halal boleh didapati dengan agak mudah, seperti di Taipei Culture Mosque atau di kedai penjual daging halal yang juga bertindak sebagai pembekal kepada restoran-restoran halal di serata Taipei,” ujar Reezal lagi.
Ketika ditanya, apakah Ramadan di Taiwan itu memang berlainan jika ingin dibandingkan seperti di Malaysia? Ini jawapan Reezal: “Semuanya lebih kurang sama, berbuka dengan kurma, solat Tarawih dan sebagainya. Yang bezanya cuma tazkirah dalam bahasa Mandarin dan di sini tiada bazar Ramadan yang sememangnya saya rindukan.
“Di Taipei ada dua masjid yang menjadi tumpuan iaitu Taipei Grand Mosque dan Taipei Culture Mosque. Taipei Grand Mosque adalah yang terbesar di sisi Daan Forest Park, taman bunga dan rekreasi yang besar di tengah kota.
“Jika dulu, masjid-masjid di Taipei akan mengadakan acara buka puasa bersama jemaah tapi disebabkan pandemik, aktiviti itu diganti dengan pemberian bungkusan makanan sahaja.
“Namun begitu, solat secara berjemaah bagi solat fardu dan Tarawih tetap berjalan dan menjadi aktiviti yang dinantikan warga Muslim di kota Taipei.
“Majoriti jemaah adalah dari kalangan warga asing yang rata-ratanya dari negara Arab, Pakistan, dan Indonesia,” kongsi Reezal lagi.
Untuk makluman, Taiwan terkenal sebagai negara pengeluar microcip terulung di dunia, dan juga kerana rakyatnya yang sangat peramah dan berbudi pekerti.
Islam mula bertapak di Taiwan dengan penghijrahan umat Islam dari tanah besar China ke Taiwan pada kurun ke-17, dan seterusnya di kurun ke-20 apabila 20,000 keluarga muslim berhijrah ke Taiwan dari Tanah Besar China pada tahun 1949 akibat Perang Saudara Cina.
#Taiwan #Malaysia #jendela ramadan #Reezal Esa
;