Ramadan bulan penyucian jiwa, pembersihan harta kekayaan
Mohsein Shariff
Mei 12, 2019 18:43 MYT
Mei 12, 2019 18:43 MYT
RAMADAN yang ditunggu telah tiba. Bersyukur ke hadrat Ilahi kita berpeluang untuk bermujahadah dalam Saiyidus Syuhur (Penghulu sekalian bulan) kali ini.
Kehadirannya sangat dinanti kerana Ramadhan adalah bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagai Syahrul Magfirah (bulan keampunan) dan Syahrul Najah (Bulan Kemenangan dan pembebasan dari api Neraka).
Bagi umat Islam, selain kewajipan berpuasa di siang hari, Ramadan adalah pesta ibadah untuk setiap muslim melakukan lebih banyak kebajikan. Ramadan adalah detik terbaik dan peluang buat setiap individu muslim menggandakan pahala dan memohon keampunan dengan berpuasa pada siangnya dan menghidupkan malam-malamnya dengan qiyamullail, beriktikaf dan bertadarus Al-Quran.
Ramadan berasal dari perkataan Al-Ramdu yang membawa maksud panas yang sangat terik. Menjadi kebiasaan tanah Arab menghadapi cuaca panas terik dan kering dalam bulan Ramadan.
Begitulah juga diharapkan bahang panas tersebut akan dapat membakar segala kekotoran dosa orang yang berpuasa yang menghidupkan ibadah dan beramal jariah di sepanjang bulan Ramadan.
Sesungguhnya bulan yang penuh rahmah dan maghfirah ini akan berlalu begitu sahaja seandainya keistimewaan yang dikurniakan tidak dimanfaat sebaiknya seperti sabda Rasullullah SAW, “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan."
Maka rebutlah peluang ini sebaik mungkin kerana belum tentu kita akan bertemu lagi Ramadan yang akan datang.
Keistimewaan Ramadan tidak terletak kepada kepelbagaian juadah makanan di bazaar Ramadan. Apatah lagi tidak naik tingkatan iman seseorang dengan pelaburan bufet Ramadan yang disertai sepanjang bulan puasa.
Ramadan adalah bulan istimewa kerana sepanjang 30 hari berpuasa, ia dipenuhi keberkatan siang dan malam. Amalan sunat di kurniakan pahala fardu dan yang fardu digandakan 70 kali.
Ramadan juga adalah bulan dijanjikan Allah tawaran pengampunan dosa yang lalu sebagaimana sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang”.
Paling istimewa umat Islam dikurniakan lailatur-qadr, satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan di penghujung Ramadan untuk dipenuhkan sepanjang malam tersebut dengan kebajikan dan kerja ibadah.
Natijahnya apabila pengisian Ramadan dipenuhi dengan penuh keikhlasan dan kesabaran maka setiap individu muslim akan mendapat taqwa dan kembali kepada keadaan fitrah yang suci jiwanya. Insan yang bertaqwa akan membina benteng persediaan yang kukuh dalam menghadapi bulan-bulan mendatang yang penuh cabaran nafsu-nafsi.
Ramadan mengajar setiap insan menginsafi diri atas kekurangan orang lain. Tidak semua dapat berbuka puasa dalam keadaan yang mewah dan selesa. Apa yang penting adalah kegembiraan ketika berbuka puasa dalam keadaan yang bersyukur dengan apa yang mencukupi.
Merasai syukur pada yang cukup adalah nikmat iman yang tinggi dan akan membina ruh dan jiwa yang sentiasa ingin membuat kebaikan sesama insan. Sebagaimana Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah: 148, “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan;”.
Dengan berlumba-lumba dan bersegera dalam melakukan kebaikan (Fastabiqul Khairat), setiap insan dituntut tidak melepaskan apa sahaja peluang kebajikan atau pintu kebaikan yang ada di hadapan mata apatah lagi dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini.
Antara kebajikan yang dituntut di sepanjang Ramadan selain berpuasa dalam ertikata puasa yang sebenar, adalah dengan memperbanyakkan amal jariah seperti berinfaq, berwaqaf dan mengeluarkan zakat.
Mengeluarkan harta kekayaan pada jalan Allah adalah merupakan satu proses pembersihan harta dan zakat adalah “sedekah wajib” yang harus dikeluarkan dari keseluruhan harta kita apabila telah cukup haul dan nisab. Harta yang tak dikeluarkan zakatnya umpama rumah yang berselerak dengan banyak kotoran dan kuman yang padanya banyak mudarat kepada para penghuninya.
Di dalam surah At-Taubah : 103, Allah berfirman: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan (yakni membersihkan dari kekikiran dan cinta yang berlebihan terhadap harta benda) dan mensucikan (yakni menyuburkan sifat-sifat kebaikan dalam hati dan memperkembangkan harta benda) mereka dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Selain zakat fitrah untuk diri dan keluarga, di kesempatan Ramadan ini lebih afdhal juga dikeluarkan zakat harta yang boleh diserahkan kepada amil-amil yang dilantik.
Harta kekayaan juga dapat dibersihkan dengan pemberian infaq jariah kepada saudara mara, anak yatim dan jiran tetangga.
Sungguhpun begitu, Islam turut menganjurkan instrumen yang dikenali sebagai wakaf, satu fasiliti buat umat untuk mendapat keberkatan dengan mengekalkan harta tersebut kepada Allah. Wakaf merupakan sedekah yang paling mulia dan bentuk perniagaan terbaik dengan Allah SWT.
Wakaf tidak menghabiskan harta malah mengekalkan harta tersebut sebagai jalan untuk meraih redha Ilahi. Wakaf tidak hanya mendatangkan manfaat bagi pewakaf, tetapi juga penerima wakaf kerana harta wakaf dapat dipergunakan untuk mengatasi pelbagai permasalahan sosial demi kemaslahatan umat secara berterusan tanpa menghilangkan ‘ain’ harta asal.
Dengan kata lain, harta wakaf hanya berhak digunakan dan dimanfaatkan tanpa sesiapapun berhak memilikinya. Begitu indahnya pendekatan ekonomi Islam dalam pembersihan harta kekayaan umatnya.
Maka beruntunglah mereka yang benar-benar mendalami ruh jariah dan berlumba-lumba berwaqaf di dalam Ramadan Syahrul Jud (Bulan bermurah hati) kali ini.
DPIM melalui syarikat Awqaf Holdings Berhad, sebuah syarikat waqaf korporat yang ditubuhkan atas jaminan DPIM akan terus memainkan peranan dalam perjuangan jihad bisnes dan waqaf korporat di Malaysia.
DPIM turut komited untuk bersama-sama agensi kerajaan memartabatkan model waqaf korporat sebagai model ekonomi Islam yang dapat digerakkan sebagai inisiatif peduli rakyat dalam memperkasakan ekonomi.
Ini amat selari dengan ruh ekonomi Islam yang adil dalam merapatkan jurang kekayaan ummat kerana manfaat waqaf jauh lebih panjang hingga beberapa generasi mendatang.
Di kesempatan Ramadhan ini, berusahalah sebaiknya untuk memperbanyakkan amal jariah kerana sesungguhnya amal jariah seperti sedekah dan waqaf dapat membersihkan harta dan juga jiwa dari dosa-dosa yang pernah kita lakukan.
“Sedekah itu menghapuskan dosa seperti air memadamkan api.” (HR At-Tirmidzi).
* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI