Ramadan 2021: Kuih tahi itik antara kuih tradisional digemari sepanjang Ramadan
Muhafandi Muhamad
April 22, 2021 09:29 MYT
April 22, 2021 09:29 MYT
KOTA BHARU: Jika mendengar namanya, pasti masyarakat luar Kelantan geli untuk merasainya.
Namun bagi rakyat Kelantan, kuih tahi itik atau putih telur dikenali antara juadah Ramadan di Kelantan.
Mungkin anda ingin mengetahui mengapa kuih berkenaan dinamakan sebegitu hingga boleh menyebabkan hilang selera.
Bagi salah seorang pembuat kuih tradisional Kelantan, Rosmaini Mat Ali, 51, kuih tahi itik dinamakan begitu kerana rupanya.
"Nama kuih ini kerana bentuk rupanya bulat-bulat begitu yang kemudian kerana ada orang geli, ia ditukar nama kepada Putih Telur.
"Bahan yang digunakan adalah putih telur, daun pandan, gula dan tepung gandum yang dikacau sebati," katanya.
Rasa kuih ini manis dan lemak sesuai dengan adunan bersama putih telur dan sedikit tepung gandum.
Penyediaanya sedikit rumit keranan perlu dimasak dan dikacau sentiasa sehingga menjadi ketulan atau gumpalan.
Menurut Rosmaini lagi, walaupun dia tidak dapat berniaga di Bazar Ramadan Kota Bharu, kuih tradisional turut mendapat permintaan sepanjang Ramadan dengan tempahan daripada peniaga kedai makan dan peniaga di bahu jalan.
Selain kuih tahi itik, Rosmaini turut membuat kuih jala emas dan rodok atau seri kaya.