Ramadan 2021: Kenapa mengantuk lepas makan?

Khairunnisa Kasnoon
April 17, 2021 09:00 MYT
Menurut Dr Samhan, selepas makan, sistem pencernaan memecahkan nutrien dari makanan untuk mengubahnya menjadi glukosa yang kemudiannya menjadi tenaga. -Gambar hiasan/Pexels
KENAPA lepas makan mengantuk?
Pastinya ramai yang mengalami situasi ini.
Lepas makan mesti mengantuk, apatah lagi di bulan Ramadan ini, khususnya selepas waktu sahur dan berbuka.
Menurut Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang, perkara itu boleh jadi normal dan boleh jadi tidak.
Ia disebabkan beberapa faktor:
1. Tindak balas sistem pencernaan
Menurut Dr Samhan, selepas makan, sistem pencernaan memecahkan nutrien daripada makanan untuk mengubahnya menjadi glukosa yang kemudiannya menjadi tenaga.
“Tubuh akan melepaskan hormon seperti amylin, glucagon dan cholecystokinin (CCK).
Hormon ini meningkatkan paras gula dalam darah, mewujudkan rasa kenyang, dan menghasilkan insulin yang akan disalurkan melalui tisu sel dan memberi tenaga kepada mereka,“ ujarnya.
Pada masa katanya, otak mengeluarkan serotonin yang menyebabkan rasa mengantuk.
2. Jenis makanan
Makanan yang tinggi karbohidrat (seperti nasi) dan makanan yang kaya dengan protein, seperti daging, ayam, telur, ikan, bayam, keju kacang soya, mengandungi asid amino tryptophan.
Asid amino ini digunakan oleh badan untuk menghasilkan serotonin yang bertanggungjawab menyebabkan kita mengantuk,” katanya lagi.
3. Tabiat tidur
Dr Samhan berkata corak tidur yang tidak teratur juga boleh menyebabkan rasa mengantuk selepas makan.
Selepas makan, badan berasa kenyang dan rileks, menjadikan tubuh terasa seperti sedang berehat, menyebabkan rasa mengantuk, terutama jika tidur tidak berkualiti pada malam sebelumnya.
4. Tahap kesihatan
Sekiranya anda sering berasa mengantuk, mungkin ia adalah tanda-tanda penyakit seperti penyakit Celiac, Anemia, food intolerance, alahan, sleep apnea, atau masalah kelenjar tiroid yang tidak aktif,” ujarnya lagi.
Sekiranya keadaan tersebut berterusan, anda dinasihati untuk merujuk kepada doktor.
#Ramadan #mengantuk #puasa #sleep apnea #Ahmad Samhan Awang #Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur #amylin #glucagon #cholecystokinin #ramadan2021
;