Ramadan 2021: Air nira kurma laris 10 kali ganda

Muhafandi Muhamad
April 27, 2021 11:27 MYT
Bagi memastikan air nira tahan lebih lama, Mohd Zain memasukkan kepingan kayu chengal ke dalam setiap botol tadahan air nira yang digantung pada batang pokok. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Air nira kurma jadi buruan ramai pada Ramadan, laris 10 kali ganda berbanding bulan biasa.
Keadaan ini mendatangkan limpahan rezeki buat pengusahanya, Mohd Zain Mohamed, 61 tahun.
Katanya, lebih 20 liter air nira atau tuak kurma dijual sehari pada bulan puasa, berbanding hanya tiga liter pada bulan-bulan lain.
Tuak kurma dihasilkan menerusi teknik torehan di bahagian batang pokok, yang akan menghasilkan nira yang lemak dan manis.
Bagi Mohd Zain, idea untuk mengusahakan tuak itu tercetus sejak tiga tahun lalu apabila beliau menanam sekitar 200 pokok kurma di tanah seluas 0.4 hektar hampir 15 tahun lalu.
Buat masa ini, terdapat kira-kira 50 batang pokok kurma yang sudah matang dan boleh ditoreh untuk mengeluarkan nira.
Setiap pokok mampu menghasilkan sehingga empat atau lima liter air nira setiap hari.
Menurut Mohd Zain, untuk memastikan air nira yang diambil dari pokok kurma tahan lebih lama, dia akan memasukkan kepingan kayu chengal ke dalam setiap botol tadahan air nira yang digantung pada batang pokok.
Sebotol tuak kurma dijual pada harga RM15 di sini.
#air nira kurma #Tuak #nira #kurma #Kota Bharu #Ramadan #puasa #ramadan2021 #laris #pokok kurma #kayu chengal
;