Rakyatkan ilmu subsidi, elak kekeliruan rakyat - Madeline Berma
Faida Rahim
Oktober 27, 2023 06:45 MYT
Oktober 27, 2023 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih agresif dalam menyampaikan penerangan mengenai pemberian subsidi termasuk merakyatkan ilmu pelaksanaan rasionalisasi subsidi di negara ini.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia Datuk Madeline Berma berpendapat, ini bagi mengelakkan dilema polisi tipikal dengan memberi penjelasan lebih jelas dalam kalangan masyarakat terutama yang berada di luar bandar.
"Bila dengan masyarakat komunikasi sangat penting. Tetapi komunikasi bukan cara macam kami di universiti bercakap. Cuma kami sahaja yang faham. Oh ini orang ekonomi ini.
"Macam guna istilah subsidi, macam mana nak bercakap dengan orang kampung apa itu subsidi. Macam dulu cerita pasal covid, ada yang sebut Kubid. Kita perlu ada komunikasi yang betul boleh difahami,” katanya berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Jelasnya lagi, pihak media dan media sosial juga memainkan peranan utama dalam menjelaskan sebarang kekeliruan berhubung dengan pemberian subsidi bersasar termasuk manfaatnya.
Ini kerana pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat timbul setiap kali pengumuman pelaksanaan subsidi terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan.
“Di pihak yang menerima subsidi the moment kita kata kita tarik subsidi memang dia akan menjerit. Kepada apa yang tahu apa itu subsidi.
“Ada yang tidak tahu apa itu subsidi. Kalau kita tarik subsidi, yang dia tahu harga barang naik. Jadi nak menjelaskan menggunakan bahasa yang digunakan rakyat jelata,” katanya.