#RakyatGagal, netizen luah kekecewaan, Kluster Raya antara punca kes terus meningkat
Khairunnisa Kasnoon
Mei 29, 2021 21:04 MYT
Mei 29, 2021 21:04 MYT
TANDA pagar #RakyatGagal trending di Twitter selepas kes baharu COVID-19 pada Sabtu merekodkan jumlah tertinggi dengan 9,020 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 558,534 kes.
Angka korban harian akibat COVID-19 pada Sabtu juga turut mencatatkan rekod tertinggi sejak setahun lalu iaitu 98 kematian, menjadikan keseluruhan kematian kini seramai 2,650 individu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata lebih mendukacitakan, kebanyakan kes dipercayai berpunca daripada kegagalan rakyat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terutamanya semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Sebagai contoh, katanya Kluster Raya dikesan di daerah Hulu Terengganu selepas terdapat 124 kes aktif yang disumbangkan oleh lima kluster aktif di daerah berkenaan berpunca daripada aktiviti ziarah hari raya.
“Gara-gara masih ada yang melanggar SOP hanya kerana ingin beraya. Rentas negeri masa raya dan ziarah raya. Akhirnya seluruh mukim Kuala Berang dilaksanakan PKPD bagi membendung penularan yang besar,” katanya.
Beliau berkata, keadaan sama turut berlaku di Johor.
"Pulang ke kampung dua hari sebelum raya, ziarah ahli keluarga dan akhirnya menyebarkan wabak sehingga lebih 20 orang disahkan positif.
“Akhirnya seramai 24 orang disahkan positif. Merebak ke pasar pula di mana 4 pekerja am di pasar itu telah disahkan positif. Bagaimana risiko peniaga dan pembeli di situ?.
"Semuanya terdedah dan ditakuti jangkitan telah meluas tanpa sedar,” ujarnya lagi dalam satu perkongsian di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menerima lebih 54,000 tanda suka serta dikongsi semula oleh 37,000 netizen sehingga malam Sabtu.
Malah menjelang sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' pada 1 Jun ini, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri dan daerah dengan menggunakan pelbagai alasan.
Hasilnya, kesesakan lalu lintas sepanjang satu kilometer berlaku di Plaza Tol Gombak menghala keluar dari ibu negara, hari ini.
Meskipun didakwa mempunyai surat pelepasan dan mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi ramai netizen mempersoalkan, mengapa waktu ini dipilih untuk berbuat demikian.
Ia mengundang kecaman dan kitikan netizen yang menyifakan sikap segelintir rakyat yang mementingkan diri sendiri dan sukar untuk menjaga kawalan kendiri menjadi punca kes terus meningkat.
Rata-rata mereka melahirkan kekecewaan selepas ramai yang tidak peka dan mengambil mudah penularan COVID-19 yang sebenarnya semakin serius setiap hari.
Turut kecewa, Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang terus merayu supaya semua terus kekal duduk di rumah dan bantu selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes tidak terkawal.
“Sekiranya kami rebah, anda dan keluarga mungkin tidak akan menerima rawatan yang sebaiknya.
Jika lebih malang, tiada lagi katil di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal,” katanya.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#PDRM
#SOP
#Aidilfitri
#Polis Diraja Malaysia
#Malaysia
#COVID-19
#rentas negeri
#rakyat gagal
#Twitter