Rakyat tidak marah pelaksanaan PKP, tapi sebab layanan tidak sama rata - Dr Zainal Ariffin

Faris Danial Razi
Mei 1, 2021 20:59 MYT
Rakyat tidak marah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sebarang sekatan pergerakan tetapi atas sebab layanan tidak sama rata, ujar Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. - Bernama
KUALA LUMPUR: Rakyat tidak marah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sebarang sekatan pergerakan, ujar Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Namun, apa yang mebangkitkan kemarahan rakyat adalah, denda yang tidak masuk akal dan kelonggaran yang hanya diberikan kepada golongan-golongan tertentu.
“Sebenarnya kita lihat, rakyat ini bukan marah sangat kepada pelaksanaan PKP, PKPP, PKPB atau sebagainya.
“Tetapi mereka marah kerana pelaksanaan yang tidak mengikut kepada garis panduan, misalnya (kelonggaran) yang dibenarkan untuk kumpulan-kumpulan tertentu.
“Kemudian ada layanan yang tidak masuk akal, denda daripada pihak berkuasa dan sebagainya. Jadi, kemarahan itu jadi berleluasa.
“Jadi pada masa ini, apa sahaja tindakan kerajaan itu dilihat sebagai satu tekanan kepada rakyat dan oleh kerana itu rakyat akan bounce back (melantun) seolah-olah untuk membalas balik,” jelas Dr Zainal ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu mengikut perasaan dan rakyat kekal bersama dalam meneruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Jadi, kita kembali mengajak rakyat untuk bersama-sama mematuhi SOP dan kita terpaksa melalui kawalan yang agak ketat semasa perayaan ini.
“Jika tidak, kita akan berakhir macam di India sana kerana mereka buka (membuka semua operasi), dan rakyat pun gembira untuk menjalankan kehidupan yang tidak sepatutnya (diamalkan ketika pandemik).
“Jadi, kita tidak mahu itu berlaku di negara kita, selepas daripada tempoh perayaan nanti,” nasihatnya lagi.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri-negeri membabitkan kes COVID-19 tinggi bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.
BACA: KKM kemuka cadangan PKP buat enam negeri
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, cadangan itu berikutan kes melebihi angka 3,000 bagi tempoh tiga hari berturut-turut dan tidak menunjukkan penurunan.
#Kementerian Kesihatan #SOP #KKM #perintah kawalan pergerakan #Pelaksanaan PKP #PKP #PKPB #PKPP #COVID-19 #perubatan #kerajaan #kesihatan #rakyat #rakyat marah
;