Rakyat tidak boleh naif realiti sejarah negara - PAMJ
Astro Awani
Februari 23, 2021 05:38 MYT
Februari 23, 2021 05:38 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat tidak boleh lagi terkongkong dan masih bersifat naif terhadap realiti sejarah negara yang kini boleh diperoleh dan berada di hujung jari, kata Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.
Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor (PAMJ) itu berkata, ia termasuk menghargai peranan serta penglibatan masyarakat Cina ketika pembukaan dan pembangunan Johor.
"Sesungguhnya rakyat Malaysia amnya dan rakyat Johor khususnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan menjunjung kasih atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan di Johor.
"Negeri Johor amat menghargai peranan, sumbangan dan penglibatan masyarakat Cina ketika pembukaan dan pembangunan negeri itu sejak awal zaman Kesultanan Johor moden pada abad ke-19.
"Titah Tuanku selaras dengan aspirasi rakyat Bangsa Johor di perantauan yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah, Johor menghargai peranan serta penglibatan masyarakat Cina ketika pembukaan dan pembangunan negeri ini sejak awal zaman Kesultanan Johor pada abad ke-16.
Baginda memberi penghormatan kepada masyarakat Cina yang turut bersama-sama bekerja keras dalam membantu membangunkan serta memodenkan Johor.
Dalam pada itu jelas Syed Hussien, Sultan Ibrahim mengakui realiti bahawa kemajuan Malaysia dibina hasil titik peluh daripada pelbagai kaum bertunjangkan prinsip-prinsip Rukun Negara, Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.
"Semoga seluruh rakyat Malaysia mengambil berat dan menginsafi titah Tuanku. Ini disebabkan Sultan Johor sangat arif tentang apa yang berlaku di Johor yang turut mencerminkan fenomena di seluruh negara.
"Di Johor khususnya dan Malaysia amnya, pelbagai bangsa turut bersama-sama membina negara-bangsa selepas merdeka.
"Masyarakat Malaysia memegang kukuh perlembagaan berasaskan "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'," ujarnya
Katanya lagi, rakyat menjunjung kuasa Raja-Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan, di samping amalan kebebasan beragama.
"Rakyat juga mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan mengakui hak istimewa Bumiputera sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Justeru, citra perpaduan Bangsa Johor boleh dicontohi dengan kata 'Muafakat itu berkat' dan 'Kepada Allah berserah'," jelasnya.