"Rakyat tercari-cari Anwar Ibrahim yang dulu" - Muhyiddin

Ridauddin Daud
Mac 5, 2024 14:01 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluahkan kebimbangan dengan situasi ekonomi negara yang kian meruncing dan masalah kos sara hidup yang berlarutan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan kebimbangan dengan situasi ekonomi negara yang kian meruncing dan masalah kos sara hidup dibebani rakyat yang berlarutan.
Menurutnya, jika perkara itu berterusan, ekonomi negara akan berdepan masa yang sukar dan sukar untuk pulih yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat.
Berbahas di Dewan Rakyat pada Selasa, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa beliau pandai berjanji semasa menjadi pembangkang namun kini dilihat seolah-olah tidak menepati janji.
“YAB Tambun ketika jadi pembangkang dulu pandai berjanji macam-macam. Sekarang ini rakyat tercari-cari YAB Tambun yang dulu.
“Bukan apa, mereka nak tuntut janji. Janji turun harga minyak, janji turun harga barang, janji naikkan nilai ringgit, janji reformasi dan bermacam-macam janji lagi.
“Jadi saya harap YAB Tambun, dengan izin, ‘walk the talk’. Ingatlah janji-janji yang ditabur kepada rakyat dahulu,” katanya.
Rakyat tak yakin dengan Perdana Menteri - Muhyiddin
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mencadangkan kerajaan menangguhkan dahulu rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel buat sementara waktu.
Tegasnya, sekiranya dilaksanakan juga, beliau yakin 100 peratus bahawa semua barang dan perkhidmatan akan naik harga dan lebih ramai rakyat akan sengsara.
“Saya faham beban fiskal yang ditanggung oleh negara kita akibat jumlah subsidi yang besar.
“Tetapi pada masa yang sama adakah kita rela melihat rakyat menanggung sengsara dalam keadaan mereka sudah pun terbeban dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai,” ujarnya lagi
#Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #tepati janji #Parlimen #pembangkang
;