Rakyat semakin faham, tangkapan ingkar PKP di Sarawak menurun

Astro Awani
April 29, 2020 11:52 MYT
Datuk Aidi Ismail tegaskan polis akan menangkap mereka yang masih berdegil dan tidak mematuhi PKP - Foto BERNAMA
Masyarakat di Sarawak semakin memahami dan memberi kerjasama serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini dibuktikan dengan jumlah tangkapan ingkar PKP di seluruh negeri itu yang semakin menurun sejak beberapa hari lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata dari 93 tangkapan pada 25 April, ia menurun kepada 63 tangkapan pada 26 April, 56 tangkapan pada 27 April dan 28 April sehingga 8 pagi hari ini mencatatkan 52 tangkapan.
Jumlah tangkapan berkenaan direkodkan dalam tempoh 24 jam dari 8 pagi setiap hari berdasarkan daerah-daerah di seluruh negeri.
"Berdasarkan jumlah tangkapan yang semakin berkurangan sejak 25 April jelas menunjukkan kepatuhan masyarakat di negeri ini bertambah baik.
"Nasihat saya agar masyarakat terus menunjukkan sikap bertanggungjawab dan memberi kerjasama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Aidi, pihaknya akan lebih tegas lagi dalam operasi penguatkuasaan PKP yang memasuki fasa keempat bermula hari ini.
"Operasi akan lebih ketat lagi, yang mana polis akan bertindak tegas dan menangkap mereka yang masih berdegil dan tidak mematuhi PKP.
"Mana-mana yang ingkar dan tidak mempunyai alasan munasabah akan diambil tindakan serta-merta," tegas Aidi.
Dalam tempoh 24 jam sehingga 8.00 pagi ini, Kuching merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 13 orang, diikuti Miri (9); Sibu (5); Betong, Bau dan Simunjan masing-masing empat orang.
Manakala Kota Samarahan serta Lubok Antu merekodkan tangkapan seramai tiga orang, Sarikei (2); dan Padawan, Dalat, Lawas, Sri Aman serta Lundu masing-masing seorang.
#COVID-19 #Datuk Aidi Ismail #PDRM #PKP #polis #Sarawak
;