Rakyat Selangor sengsara air senyap-senyap dicatu - Johan
Wan Syamsul Amly
Jun 18, 2015 13:59 MYT
Jun 18, 2015 13:59 MYT
Rakyat di Selangor disifatkan semakin sengsara akibat catuan air yang dilakukan sejak tiga bulan lepas susulan kedegilan kerajaan negeri menyelesaikan isu perkhidmatan air dan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2).
Setiausaha badan perhubungan UMNO negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri juga seolah-olah tidak mengendahkan kebajikan rakyat yang benar-benar memerlukan bekalan air sempurna untuk kegunaan sehari-hari.
"Sudah masuk tiga bulan catuan berlaku terutama di Semenyih dan kawasan sekitar. Apa yang berlaku benar-benar menunjukkan kegagalan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam mentadbir.
"Pemuda UMNO juga sudah membuat perhimpunan di hadapan pejabat SUK semalam, kita mahu isu ini segera selesai," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Johan mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang berkata, Kerajaan Persekutuan boleh mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya penstrukturan semula industri air di Selangor tidak dapat diselesaikan sehingga mengganggu kebajikan rakyat dan kegiatan ekonomi di negeri itu.
Jelasnya, ia merupakan pilihan terakhir kerana kerajaan komited untuk menyelesaikan permasalahan tersebut menggunakan pendekatan diplomasi agar keyakinan pihak swasta tidak terjejas.
Dalam pada itu, jelas Johan, Azmin diminta segera menyelesaikan kemelut membabitkan bekalan air di Selangor dengan mengadakan perbincangan bersama exco negeri yang berkenaan.
"Rakyat sudah marah kerana catuan dibuat senyap-senyap. Langkah kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini juga masih tidak nampak sehingga kini," ujarnya.
Dalam pada itu ketika mengulas pergolakan politik Pakatan Rakyat, Azmin berkata: "Pakatan Rakyat sudah tidak ada lagi, UMNO negeri mengambil langkah 'tunggu dah lihat' dalam perkembangan ini.
"Cukuplah sandirawa mahu menjadi pembela rakyat Selangor. Kerajaan Negeri sudah terbukti gagal dalam pentadbiran dan kita akan memfokuskan menawan kembali negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang."