Rakyat Sarawak tetap dapat vaksin walau tanpa MyKad - Abang Johari

Astro Awani
Jun 25, 2021 17:07 MYT
Beberapa penduduk asal di Ulu Baram, Sarawak dilaporkan dihalang daripada mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kerana tidak memiliki MyKad. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Suntikan vaksin COVID-19 tetap diberikan kepada rakyat Sarawak walaupun tidak memiliki kad pengenalan atau MyKad.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab ketua masyarakat untuk membantu penduduk yang tiada dokumen pengenalan diri ini agar tidak tercicir daripada menerima vaksin.
“Kalau tidak ada IC (Mykad), ketua kampung boleh buat pengesahan untuk mereka dan kita akan beri suntikan kepada mereka.
“Ada dua, tiga orang tidak ada MyKad dalam kampung apa salah kalau ketua kampung sahkan kerana ketua kampung atau ketua masyatakat mengenali anak buahnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri Longi di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di sini hari ini.
Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media sama memaklumkan satu mekanisme telah diwujudkan untuk membantu individu tanpa MyKad mendapatkan vaksin.
Kata Uggah, mekanisme berkenaan sudah dimaklumkan kepada seluruh jentera bagi melancarkan program vaksinasi di Sarawak.
Sebelum ini sebuah portal berita pada 18 Jun lalu melaporkan mengenai beberapa penduduk asal di Ulu Baram dihalang untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana tidak memiliki MyKad.
Perkara itu telah mendapat perhatian beberapa pihak termasuk kumpulan Undi Sarawak yang mendesak agar suntikan vaksin COVID-19 diberikan secara menyeluruh tanpa membezakan identiti penerimanya.
BACA: Semua rakyat Sarawak mesti diberi vaksin tidak kira status MyKad - Undi Sarawak
#COVID-19 #program vaksinasi #Ketua Menteri #PPV #Pusat Pemberian Vaksin #Sarawak #mykad #Ulu Baram
;