Rakyat sambut perayaan dalam keadaan harga terkawal antara keutamaan KPDN
Bernama
Disember 12, 2022 20:49 MYT
Disember 12, 2022 20:49 MYT
KUALA LUMPUR: Memastikan rakyat dapat menyambut perayaan dalam keadaan harga barang terkawal adalah antara keutamaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata ia antara yang dibincangkan dengan menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini.
"Bagaimana kita nak berdepan dengan musim perayaan akan datang ini... Krismas, kemudian Tahun Baharu Cina seterusnya Ramadan... bagaimana kita nak pastikan kawalan harga barang dapat dilakukan dalam berdepan perayaan-perayaan.
"Ini adalah perkara utama yang kita perlu lihat bagi memastikan rakyat dapat sambut perayaan dalam keadaan harga barang terkawal," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk 'Lengkapnya Formasi Kerajaan Perpaduan' yang disiarkan di Bernama TV hari ini.
Fuziah berkata turut dibincangkan bersama menterinya hari ini adalah bagaimana untuk memperkasakan rakyat bagi membolehkan rakyat menjadi 'mata dan telinga' kementerian dalam membantu masalah rakyat khususnya soal kos sara hidup.
"Kita memang ada penguat kuasa tetapi kalau rakyat boleh bantu kementerian jadi mata telinga, itu juga boleh bantu kawal apa yang berlaku di persekitaran kita," katanya.
Mengenai langkah mengimport telur, Fuziah berkata ia bukanlah satu penyelesaian jangka panjang memandangkan kekurangan bekalan telur bukan disebabkan ketiadaan telur tetapi lebih kepada isu berkaitan dengan rantaian bekalan.
"Bila kos ternak ayam itu tinggi, oleh kerana makanannya mahal dan sebagainya maka ayam itu lebih awal dimasukkan dalam pasaran dan kalau mahu pulihkan kembali (bekalan) telur dalam pasaran akan ambil masa beberapa bulan. Kalau kita kawal harga makanan ayam, dalam lima ke enam bulan boleh pulih dari sudut bekalan telur ayam.
"Ini semua berkaitan dengan polisi jadi kena hati-hati dan teliti betul-betul, kena pastikan keputusan dibuat ada kesan jangka panjang dan kesan ini tidak menyebabkan peningkatan inflasi dan membawa kebaikan kepada rakyat," katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata bekalan telur akan diimport dari beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera untuk memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.
Mohamad juga berkata keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar akan dikaji semula selepas bekalan tempatan kembali stabil.
-- BERNAMA