Rakyat Sabah tidak mahu dengar isu serangan peribadi - Penganalisis
Hasimi Muhamad
Januari 6, 2020 15:47 MYT
Januari 6, 2020 15:47 MYT
Taktik serangan peribadi yang digunakan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis oleh mana-mana calon tidak akan membuahkan hasil untuk memancing hati pengundi di Parlimen itu.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berpendapat, sebaliknya perkara itu hanya akan menjejaskan kredibiliti pihak yang berbuat demikian.
Justeru katanya, calon Pakatan Harapan (PH) - Warisan, Datuk Karim Bujang dan Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin perlu kekal fokus kepada masalah rakyat.
“Saya tidak yakin rakyat di Sabah ini lebih fokus kepada serangan peribadi. Kita di Sabah ini lebih fokus kepada potensi pembangunan yang boleh dibawa di Sabah oleh mana-mana wakil rakyat.
“Serangan peribadi memang wujud, tetapi itu bukan tumpuan. Maknanya di situ, kalau calon itu memfokuskan kepada serangan peribadi (pihak lawan), itu kekurangan dan akan memberi impak negatif
“Jangan menyerang peribadi dan fokus kepada mengubah nasib rakyat,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI di UMS, di sini, pada Isnin.
Ditanya mengenai aura kempen yang masih “suram” walaupun sudah memasuki hari ketiga, Dr Romzi berkata, kedua-dua calon dilihat berhati-hati dan kurang agresif.
Ini kerana jelas beliau, kemungkinan kedua-dua calon masih mengatur pergerakan jentera.
“Jadi pada tiga hari awal ini, calon lebih kepada cuba berhati-hati dan masih menyusun jentera.
“Jadi, itu memperlihatkan kempen seolah-olah tiada kerancakan di situ. Cuma saya harap bermula esok (Selasa) mungkin penyusunan jadual sudah dibuat oleh kedua-dua calon dan saya yakin bermula esok akan rancak proses kempen,” ujarnya.
Tinjauan di laman sosial dan reaksi rakyat memaklumkan, pergerakan calon BN dan Warisan untuk berkempen masih pada tahap sederhana.
Karim, 67, yang juga Ketua Bahagian Kimanis Warisan akan bersemuka dengan ‘ayam tambatan’ BN, Mohamad, 47, dalam saingan merebut kerusi Parlimen Kimanis.
#Barisan Nasional
#Dr Romzi Ationg
#Kimanis Memilih
#Pakatan Harapan
#pilihan raya kecil
#PRK
#UMS
#Universiti Malaysia Sabah