Rakyat Sabah diminta terus patuhi SOP, bendung peningkatan kes COVID-19
Bernama
Julai 29, 2020 14:52 MYT
Julai 29, 2020 14:52 MYT
Rakyat Sabah diminta untuk terus mengamalkan kebiasaan baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata pematuhan SOP dan kebiasaan baharu termasuk memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan sosial perlu terus ditekankan.
Ini penting untuk memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dikuatkuasakan pada Mac lepas, tidak dilaksanakan sekali lagi justeru PKPP boleh diteruskan dalam usaha memulih semula ekonomi yang terjejas dalam tempoh itu, katanya.
"Kita sudah merasai dan melalui PKP, PKP Bersyarat dan sekarang PKPP. Meskipun ekonomi kita masih tidak begitu stabil (tetapi sekurang-kurangnya sekarang) ekonomi dapat dijalankan, dan sektor pelancongan di Sabah juga dapat dihidupkan dengan Kundasang sudah mula menerima kehadiran pelancong.
"Jika (rakyat) tidak mahu kembali kepada PKP, kita mesti ikut arahan daripada KKM (Kementerian Kesihatan). Kita mesti bertanggungjawab untuk melindungi diri (dengan mematuhi SOP) supaya kita dapat bergerak ke langkah berikutnya. Kerjasama semua amat diperlukan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima 35 unit Bilevel Positive Airways Machines sumbangan Yayasan Temasek dari Singapura yang akan diagihkan untuk kegunaan di semua hospital di seluruh Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Poon berkata beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan Persekutuan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos ini, sekali gus menyifatkan ia sebagai arahan terbaik.
Terdahulu, Poon dalam ucapannya berkata, Sabah merekodkan 392 kes COVID-19 setakat semalam, dengan 11 daripadanya adalah kes aktif yang sedang dirawat dan hal tersebut menjadi perhatian pihaknya memandangkan dalam tiga hari terakhir bermula 26 Julai lepas, Sabah mencatatkan lapan kes positif.
Justeru, rakyat Sabah diminta untuk terus berwaspada dan tidak memandang ringan risiko ancaman COVID-19, katanya.
#COVID-19
#Frankie Poon Ming Fung
#kerajaan
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKPP
#rakyat Sabah