Rakyat Sabah dan Sarawak perlu menulis kisah mereka

Dania Zainuddin
Mac 31, 2016 08:00 MYT
Rakyat Malaysia khususnya dari Sabah dan Sarawak perlu mengambil inisiatif menulis sendiri mengenai sejarah, tradisi serta budaya masing-masing. - Foto www.mcgkl.org
Rakyat Malaysia khususnya dari Sabah dan Sarawak perlu mengambil inisiatif sendiri menulis mengenai sejarah, tradisi serta budaya masing-masing.
Bekas wartawan terkenal, Rehman Rashid, berkata ia perlu bagi menyediakan ruang kepada orang ramai untuk mengetahui mengenai asal usul dan kisah dari rantau Borneo yang sememangnya menarik untuk diselami.
Menurut Rehman, beliau percaya setiap penduduk di Malaysia perlu mengabadikan cerita dan kisah masing-masing mengenai negara ini.
"Saya tidak perlu ke Sabah atau Sarawak dan menulis mengenai mereka. Itu adalah kerja wartawan asing.
"Saya percaya apa yang kita semua perlu adalah untuk semua orang menulis kisah masing-masing, cerita mengenai Malaysia. Terdapat lebih 30 juta cerita mengenai Malaysia dan saya sudah hasilkan satu.
"Saya mahu rakyat Sabah dan Sarawak untuk mula menulis cerita masing-masing. Saya mahu tahu siapa mereka. Saya mahu tahu siapa Lun Bawang, Dayak, Penan. Saya mahu kenali mereka," kata Rehman kepada media selepas majlis pelancaran buku terbaharunya, Peninsula: A Story of Malaysia di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Apa yang menimbulkan persoalan baginya ialah mengapa sehingga kini, kebanyakan buku mengenai Sabah dan Sarawak adalah hasil penulisan orang luar dan bukannya pribumi negeri itu.
"Selepas tiga generasi dan kamu tidak tahu menyampaikan mengenai diri kamu, maka saya amat bersimpati terhadap kamu kerana orang lain akan bercakap bagi pihak kamu.
"Sampai bila orang akan mengesyorkan (buku) Joseph Conrad bagi Sarawak dan Agnes Keith bagi Sabah?" katanya.
Joseph Conrad dan Agnes Keith merupakan penulis yang menceritakan mengenai Sarawak dan Sabah masing-masing pada abad ke-19 dan ke-20.
Buku terbaharu Rehman merakamkan pemerhatian peribadinya tentang perubahan tanah air yang menyentuh soal politik, ekonomi serta sosio budaya sejak merdeka yang membentuk sikap dan pemikiran rakyat.
Ia dianggap melengkapkan catatannya sebelum ini dalam buku pertamanya "A Malaysian Journey" yang diterbitkan pada 1993.
#Peninsula: A Story of Malaysia #Rehman Rashid #Sabah dan Sarawak #tulis buku Sabah & Sarawak
;