Rakyat Sabah bukan peminta sedekah - Mohd Shafie

Fifi Harteeny Marzuki
Julai 8, 2018 16:31 MYT
MOHD SHAFIE (tengah) ketika bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Parti Warisan Sabah, di sini, hari ini.
Rakyat Sabah bukan 'peminta sedekah' yang hanya bergantung kepada bantuan semata-mata seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ujar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Menurutnya, ini memandangkan negeri Sabah mempunyai kekayaan sumber hasil bumi yang mampu memberikan manfaat kepada semua rakyatnya.
Beliau turut menyeru agar rakyat di negeri ini bijak menjana pendapatan tetap dan menukar cara pemikiran serta kehidupan agar tidak terlalu taksub dengan bantuan kerajaan.
"Kita tidak boleh hanya bergantung pada BR1M. Kita kena ubah cara pemikiran kita, cara kehidupan selari dengan slogan baru kita 'Sabah ubah'.
"Kita mesti ubah bukan hanya kerajaannya, cara mentadbir negeri Sabah dan cara pemikiran kita selaku rakyat Sabah.
"Jangan hanya bergantung dengan BR1M, bukan kita masyarakat yang bergantung dengan sedekah, Sabah cukup kaya," katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Parti Warisan Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib; Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking; dua Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sembakong dan Datuk Peter Anthony.
Sementara itu, Mohd Shafie turut menyatakan bahawa kerajaan negeri kini giat memperhalusi langkah proaktif untuk mengatasi dan menyelesaikan isu penempatan setinggan dalam kalangan rakyat Sabah pada tempoh terdekat.
Jelasnya, pada peringkat sekarang pihaknya akan memansuhkan pemberian geran komunal agar dapat ditukarkan kepada pemilikan individu dan keluarga selari dengan manifesto serta janji Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Umum ke-14.
"Pemansuhan geran komunal ini akan dilakukan dalam waktu terdekat dan perbincangan dengan para peguam sedang dilakukan untuk memperhalusi perkara ini.
"Selain itu, kita akan buat sedikit penjenamaan semula untuk membolehkan rakyat memperoleh tanah kerana ini merupakan hak mereka," katanya.
#bantuan kerajaan #BR1M #geran komunal #kerajaan #Ketua Menteri #Manifesto #menteri #peminta sedekah #pilihan raya #pilihan raya umum #rakyat #rumah #Shafie Apdal
;