Rakyat perlu tahu fakta mengenai rusuhan di kuil - Tun M
Firdaus Azil
November 28, 2018 21:46 MYT
November 28, 2018 21:46 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berpendapat rakyat perlu tahu apa sebenarnya yang terjadi di sebalik rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada tempoh hari.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, atas sebab itu beliau sendiri akan membentangkan usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) di Dewan Rakyat esok bagi membolehkan perkara itu dibincangkan di peringkat Parlimen.
“Sebagai pihak kerajaan, kita berpendapat kita perlu beritahu apa yang sebenarnya berlaku kerana kita mendapat maklumat terus dari orang yang terlibat mengawal keselamatan di negara kita iaitu pihak polis dan pihak yang memberi maklumat.
"Jadi esok kita akan beri penerangan, dan saya meminta pihak akhbar agar tidak memainkan peranan untuk memburukkan keadaan dengan membuat laporan yang bersifat fake news,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM di sini, malam ini.
Dr Mahathir, yang juga merupakan pengerusi Pakatan Harapan berkata, kesemua pihak termasuk media harus sedar masih ada undang-undang untuk mengawal penularan berita tidak benar di negara ini, dan mereka harus berwaspada terhadap sebarang unsur yang boleh mencetuskan provokasi antara kaum.
#keselamatan
#kuil sri maha mariamman
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#polis
#PPBM
#rakyat
#Subang Jaya
#undang-undang