Rakyat perlu sokong kerajaan demi kestabilan negara - Salleh

Bernama
Mac 25, 2017 18:41 MYT
SALLEH: Rakyat perlu kekal kesinambungan pemerintahan kerana terbukti ia mampu memenuhi keperluan rakyat melalui perancangan yang dilakukan. - Gambar fail
Rakyat perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) demi mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kestabilan negara yang dinikmati rakyat pada masa ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata rakyat perlu kekal kesinambungan pemerintahan kerana terbukti ia mampu memenuhi keperluan rakyat melalui perancangan yang dilakukan.
"Oleh itu rakyat perlu berganding bahu untuk menyokong segala usaha yang diambil oleh kerajaan demi memajukan negara dalam suasana yang aman damai tanpa sebarang perbalahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Jahitan Tudung, Gerai Makanan, Jurugaya Rambut, Selenggara Komputer dan Bangkel Keluarga Sejahtera anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Sabah di sini, hari ini.
Salleh, yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata kerajaan sentiasa memberi bantuan kepada rakyat termasuk menyediakan pelbagai kursus kemahiran dan peluang perniagaan.
"Bukan sahaja Kemas, kementerian juga telah menyediakan pelbagai peluang perniagaan melalui e-Rezeki dan e-Usahawan dan kesemua peluang itu hanya mampu terus dilaksanakan ekiranya kerajaan pada masa ini kekal memerintah," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kemas Sabah, Shahrulnizam Jantan berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk melaksanakan pelbagai kursus sepanjang tahun ini.
Katanya, rancangan mengadakan pelbagai kursus jangka pendek di beraa tempat di negeri itu membolehkan peserta memperoleh sijil kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.
"Sudah tentu kursus yang diberikan mampu meningkatkan lagi kemahiran serta membantu peserta meningkatkan taraf ekonomi masing-masing," katanya. - BERNAMA
#Barisan Nasional #e-usahawan #Jabatan Masyarakat Kemas.e-Rezeki #Salleh Said Keruak
;