Rakyat perlu sertai NGO bantu etnik Rohingya - WeMalaysia
Wan Syamsul Amly
Disember 7, 2016 07:25 MYT
Disember 7, 2016 07:25 MYT
Rakyat perlu menyertai usaha-usaha yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Relief Agency (Malaysia Relief) dan NGO-NGO lain dalam membantu membela hak asasi etnik Rohingya.
Koordinator WeMalaysia Adelaide, Oscar Ong Zi Shao berkata, antara usaha yang dipuji adalah pelancaran tabung kemanusiaan Rohingya dengan bantuan kewangan awal sebanyak RM50,000 kepada masyarakat berkenaan.
"Sesungguhnya mereka yang ditindas amat memerlukan bantuan kita semua. Semoga keganasan dan kezaliman yang bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia ini akan berakhir.
"WeMalaysia juga menyokong segala usaha politik dan diplomatik kerajaan Malaysia dalam membantu masyarakat Rohingya.
"Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya penindasan dan kezaliman yang sedang berlaku. Kami berpendapat bahawa kerajaan Myanmar sepatutnya setiasa mengamalkan hak kemanusiaan tanpa mengira kaum, agama and budaya masing-masing. Tanpa mengira latar belakang, setiap manusia sepatutnya mendapat layanan yang adil," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Oscar mengulas nasib puluhan ribu Rohingya hilang tempat tinggal dan terpaksa menjadi pelarian.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan menutup mata dan berdiam diri berhubung penderitaan Rohingya di Myanmar.
Tegasnya, Malaysia akan berjuang habis-habisan bagi mempertahankan hak asasi golongan etnik beragama Islam di Myanmar itu.
Dalam pada itu kata Oscar, adalah jelas bahawa hak kemanusiaan masyarakat Rohingya seperti yang dinyatakan dan dijamin di bawah penyata Universal Declaration of Human Rights (UDHR) 1948, telah dinafikan dan tidak dipelihara dalam negara tersebut.
"Isu masyarakat Rohingya yang terus menerus ditindas oleh kerajaan Myanmar adalah satu isu yang perlu diambil berat oleh semua pihak di Malaysia.
"WeMalaysia menyedari penderitaan masyarakat Rohingya sejak tahun 1978 akibat keganasan junta tentera Myanmar. Hak kemanusiaan mereka turut diancam, ini menyebabkan kebanyakan orang Rohingya melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh.
"Kami juga sedar, gerakan pembebasan Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan," jelasnya.
Dalam pada itu ujarnya, nasib masyarakat Rohingya terus tersiksa apabila dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu.
"Sehingga kini, dianggarkan seramai lebih 250,000 orang Rohingya telah melarikan ke sempadan Bangladesh sejak bermulanya operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar.
"Secara rasmi kempen itu mensasarkan 'pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram'.
"Kempen ketenteraan itu disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran," katanya.
Tambahnya, turut dilaporkan adalah kegiatan buruh paksa di samping hukuman mati, penyeksaan dan rogol.
"Orang Rohingya juga dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk.
"Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan.
"Dari 1978, kezaliman kerajaan Myanmar ke atas masyarakat Rohingya berterusan sehingga hari ini. Mutakhir adalah keganasan ke atas masyarakat Rohingya di daerah Maungdaw dan Rathedaung, yang terletak di dalam wilayah Rakhine," tegasnya.
Sementara itu, Oscar turut menyimpulkan Perhimpunan Solidariti Bersama Masyarakat Rohingya yang telah diadakan pada 4 Disember lepas dan turut dihadiri Datuk Seri Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama lebih 20,000 rakyat telah menghantar mesej jelas kepada Aung San Suu Kyi walaupun usaha tersebut tidak sambut baik oleh kerajaan Myanmar.
WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).