Rakyat perlu matang guna media sosial

Wan Syamsul Amly
Februari 27, 2013 20:36 MYT
Rakyat harus matang dalam menerima dan memanfaatkan perkembangan pantas dunia sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia penting dalam memastikan keharmonian masyarakat berkekalan.
``Rakyat harus bertanggungjawab dan beretika selain tidak menyalahgunakan medium itu untuk kepentingan pihak tertentu,'' katanya semasa merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia anjuran Dewan Media Sosial (SMC) Malaysia.
Acara itu turut dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan pengasas, yang juga presiden SMC Malaysia Shahul Hameed Shaik Dawood.
Tambahnya, pilihan raya kali ini dianggap penglibatan kali pertama rakyat dengan media sosial.
``Kita dapat lihat kali ini partisipasi rakyat dalam menyuarakan pendapat masing-masing di dalam media sosial."
`` Hasrat saya untuk melihat lebih ramai rakyat mendapat akses kepada dunia internet. Ia membuka lebih banyak peluang dan penglibatan rakyat dengan media sosial,'' jelasnya.
Pada majlis itu juga Najib dianugerahkan tokoh kepimpinan dalam penglibatan media sosial.
Najib kini mempunyai 1.4 juta pengikut pada akaun Facebook beliau dan 1.2 juta pengikut di akaun Twitter.
Pada majlis itu juga, Najib melancarkan akaun Instagram dengan mengambil gambar peserta sebaik sahaja tiba di majlis berkenaan.
MSMW yang diadakan buat kali kedua dari 27 Februari hingga 3 Mac yang bertema `babit, didik dan hibur' itu dilihat berjaya dengan penglibatan peserta dan penceramah tempatan serta luar negara.
Antara acara yang diatur ialah Sidang Kemuncak Blogger dan Media Sosial Dunia yang akan menghimpunkan penceramah luar dan tempatan serta pengamal media sosial untuk berkongsi amalan terbaik dalam industri itu.
#Datuk Seri Dr Rais Yatim #Datuk Seri Najib Tun Razak #dunia sosial #Minggu Media Sosial Malaysia anjuran Dewan Media Sosial (SMC)
;