Rakyat perlu lebih berhati-hati, elak jadi mangsa penipuan, berita palsu - Teo Nie Ching
Bernama
Januari 2, 2023 21:22 MYT
Januari 2, 2023 21:22 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu lebih berhati-hati dan meneliti kesahihan maklumat atau berita yang diterima, agar tidak menjadi mangsa kepada berita palsu serta jenayah penipuan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Beliau berkata era pendigitalan kini membolehkan maklumat dimanipulasi oleh pihak tertentu dengan tujuan jahat, terutamanya menerusi maklumat yang disebarkan di platform media sosial.
Oleh itu, Teo berkata rakyat perlu lebih celik dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima, sebelum bertindak ke atasnya atau berkongsi dengan orang lain, kerana ia berpotensi menjadi suatu ancaman sekiranya ia berita palsu atau ada unsur penipuan.
Beliau berkata orang ramai boleh mengguna pakai pelbagai saluran yang disediakan kerajaan untuk mengesahkan kesahihan maklumat atau berita.
"Contohnya, jika ada berita tentang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi bantuan, bukalah laman web JKM dan tengok kalau memang mereka ada buka permohonan baharu untuk bantuan. Jika tidak ada juga, maksudnya maklumat itu berkemungkinan besar adalah berita palsu.
"Tanya dahulu diri kita adakah maklumat itu betul. Kalau kurang pasti, kita perlu semak dan jangan sebarkan," katanya pada program Pastikan Sahih yang disiarkan di TV1 hari ini.
Selain itu, Teo turut berkata rakyat yang mengesyaki mereka telah menjadi mangsa jenayah penipuan, perlu terus menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.
"Ini satu pusat sehenti, yang membolehkan pihak berkaitan mengambil tindakan segera untuk cuba menghentikan aliran keluar wang mangsa, sebaik sahaja mereka sedar mereka telah menjadi mangsa penipuan," katanya.
-- BERNAMA