Rakyat perlu diberi pendedahan meluas mengenai agenda kelestarian negara - Mustapa

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 12, 2021 12:50 MYT
Mustapa berkata adalah penting untuk mendidik masyarakat Malaysia untuk mewujudkan kesedaran sesama rakyat tentang perjalanan ke hadapan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Agenda kelastarian dan kemampanan alam sekitar merupakan antara sektor yang diberi penekanan oleh kerajaan ketika ini dalam memastikan pemerkasaan ekonomi secara menyeluruh mampu dicapai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia telah melancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 yang secara praktikal menyelaraskan keutamaan pembangunan negara dengan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
“Adalah penting untuk mendidik masyarakat Malaysia untuk mewujudkan kesedaran sesama rakyat tentang perjalanan ke hadapan bagi menjadi negara yang mampan. Ini sangat penting dan ini adalah salah satu sebab mengapa kita berada di sini, pagi ini.
“Kedua, penting untuk memastikan ada 'momentum' dalam apa jua yang kita lakukan. Kita mahu 'momentum' ini berkembang untuk beberapa hari, beberapa minggu, beberapa bulan dan beberapa tahun akan datang. Ini sangat penting untuk mengekalkan minat orang ramai dalam agenda kelestarian ini,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Rancangan Malaysia Ke-12 di ibu negara pagi tadi.
Tambah beliau lagi, ketika ini tidak dapat dinafikan kerajaan telah melaburkan sejumlah peruntukan yang besar dalam memastikan agenda kelastarian dan kemampanan alam sekitar di negara ini namun masih banyak yang belum tercapai sepenuhnya.
Malah jika dilihat tahap kesedaran akan pentingnya usaha ke arah kelestarian itu masih rendah dalam kalangan rakyat yang gagal melihat ia adalah sumber penting dalam menentukan kejayaan ekonomi negara.
Justeru katanya kerajaan tidak mampu berseorangan dalam memastikan agenda kelestarian ini berjaya tetapi memerlukan sokongan pelbagai pihak.
#ekonomi #Malaysia #Perdana Menteri #rakyat Malaysia
;