Rakyat perlu bijak gunakan kebebasan bersuara di media sosial

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 17, 2020 20:59 MYT
Bagi terus mengekang penyebaran berita palsu atau salah guna hak kebebasan bersuara, undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan. -Gambar hiasan
Rakyat perlu bijak dalam menyuarakan pendapat terutamanya menerusi penggunaan media sosial walaupun Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.
Ini kerana, menurut Pensyarah Kanan, Politik dan Hubungan Antarabangsa, UUM, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, menerusi platform media sosial orang ramai bebas mengemukakan pendapat mereka tanpa sekatan dan ia boleh menimbulkan kekeliruan.
"Yang paling penting tentang kebebasan bersuara ini adalah ia memberi hak kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka tentang pelbagai isu termasuk isu politik.
"Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan ia membolehkan rakyat menyatakan padangan mereka termasuk mengkritik kerajaan agar kerajaan dapat mempertimbang semula pandangan tersebut.
"Pada masa sama, terdapat kerumitan dalam hak kebebasan bersuara terutamanya menggunakan media sosial yang agak bebas dan ia boleh mengelirukan rakyat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Jelasnya, bagi terus mengekang penyebaran berita palsu atau salah guna hak kebebasan bersuara, undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan.
Justeru, Azizuddin menegaskan, media arus perdana memainkan peranan penting untuk memastikan maklumat sebenar disalurkan kepada rakyat sebelum bermulanya penularan berita palsu.
"Rakyat perlu memahami sama ada maklumat yang diterima itu adalah sahih atau sebaliknya. Jadi, media arus perdana memainkan peranan penting untuk memberi maklumat sebenar.
"Media arus perdana perlu mencari kebenaran tentang berita palsu dengan pantas. Ketika ini trend menunjukkan media arus perdana lebih diberi tumpuan berbanding berita palsu yang disebarkan menerusi media sosial.
"Justeru, media arus perdana perlu mengambil peluang ini untuk meraih semula tontonan dan ruang daripada rakyat untuk menyampaikan maklumat sebenar agar rakyat boleh menilai dan memahami dengan lebih baik," jelas beliau lagi.
#bijak #kebebasan bersuara #media sosial #politik #Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
;