Rakyat perlu biasakan diri hukuman ke atas pemimpin - Tricia Yeoh
Nailah Huda
Ogos 23, 2022 20:30 MYT
Ogos 23, 2022 20:30 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu membiasakan diri melihat hukuman dijatuhkan ke atas pemimpin-pemimpin politik negara seperti mana amalan itu menjadi kebiasaan di negara lain.
Ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan sabitan ke atas Datuk Seri Najib Razak pada Selasa, Ketua Pengarah Eksekutif IDEAS Dr Tricia Yeoh berkata kes tersebut menjadi peringatan bahawa tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang.
“Kes seperti ini bukan berita baharu di negara-negara lain seperti Korea Selatan dan Indonesia. Ini sudah menjadi perkara biasa.
“Di Malaysia sahaja, mungkin kita tidak biasa dengan berita di mana bekas ketua negara atau ahli politik didapati bersalah. Ini mesti menjadi normal. Kita mesti ‘normalize’ situasi di mana ‘no one is above the law’,” ujarnya.
Tricia turut berpandangan bahawa keputusan tersebut melambangkan kepentingan untuk badan kehakiman kekal bebas.
“Sistem demokrasi di Malaysia adalah berasaskan prinsip pengasingan kuasa di mana ada badan kehakiman yang tidak sepatutnya akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak eksekutif atau parlimen.
“Ini adalah detik penting dalam sejarah kita di mana badan kehakiman boleh membuat keputusannya secara bebas,” jelas Tricia.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.