Rakyat perlu belajar hidup bersama COVID-19 - Pakar perubatan
Fauzi Suhaimi
Disember 11, 2020 14:37 MYT
Disember 11, 2020 14:37 MYT
KUALA LUMPUR: Semua rakyat di negera ini perlu belajar untuk hidup bersama-sama dengan virus COVID-19 untuk masa akan datang.
Ini kerana, jelas Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mustahil untuk dilaksanakan secara berterusan.
"Saya rasa pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) perlu duduk semua dan libatkan orang ramai tentang isu ini.
"Hal ini kerana, orang ramai masih tidak jelas apakah objektif untuk masa akan datang.
"Oleh itu, kita jangan retorikkan duduk rumah (seperti ketika PKP) kerana perkara itu mustahil (untuk dilakukan) dalam jangka masa panjang," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dr Zainal Ariffin meminta orang ramai untuk memahami bentuk penulisan jurnal khsusunya melibatkan penghasilan vaksin COVID-19.
"Merujuk kepada isu enam kematian ketika fasa percubaan vaksin COVID-19 yang dibangunkan Pfizer-BioNTech, ada kekeliruan di sini.
"Setelah meneliti laporannya, kami mendapat empat kematian melibatkan mereka yang berada dalam kumpulan tidak diberikan vaksin, manakala dua lagi dalam kumpulan yang diberikan vaksin.
"Ini bermakna, empat kematian tersebut tidak melibatkan vaksin berkenaan, namun dua lagi kematian berpunca daripada penyakit kronik yang dihidapi pesakit tersebut," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas meneliti laporan itu juga, pihaknya yakin penggunaan vaksin pada peringkat itu selamat untuk digunakan, meskipun didakwa masih ada kesan sampingan seperti alahan dan sebagainya.
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datu
#normal baharu
#duduk dirumah