Rakyat perlu ambil iktibar tsunami COVID-19 di India - KP Kesihatan

Bernama
Mei 8, 2021 04:05 MYT
Dr Noor Hisham berkata situasi yang berlaku di India ketika ini adalah berikutan keputusan kerajaan negara itu pada 7 Mac lepas melonggarkan sekatan pergerakan selepas berjaya mengawal jangkitan wabak. -Facebook
PUTRAJAYA: Rakyat negara ini disaran menjadikan tsunami COVID-19 di India sebagai pengajaran, dan tidak mengambil mudah dengan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, yang ditetapkan kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi yang berlaku di India ketika ini adalah berikutan keputusan kerajaan negara tersebut pada 7 Mac lepas, yang melonggarkan sekatan pergerakan rakyatnya selepas berjaya mengawal jangkitan wabak itu.
"Berikutan pengumuman itu, ramai rakyat India sudah tidak mematuhi SOP, apabila kelonggaran diberikan. Perhimpunan berlaku di pantai, di upacara keagamaan dan majlis perkahwinan.
"Selain itu, India juga telah mengadakan lima pilihan raya negeri. Mereka mengadakan kempen melibatkan 200,000 individu dengan tiada pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, maka jangkitan berlaku," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini pada Sabtu.
Jumlah keseluruhan kes di India ketika ini adalah 21.49 juta dengan 1.57 juta kes baharu dicatatkan dalam tempoh seminggu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan betapa pentingnya negara mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 pada Januari lepas, yang memperuntukkan sebarang pilihan raya tidak perlu diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.
Kata Dr Noor Hisham, dengan adanya Ordinan Darurat, sebanyak tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak diadakan iaitu PRK Batu Sapi, Bugaya dan Gerik, selain Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN).
"Kalau PRK dan PRN Sarawak diadakan, sudah tentu akan ada perhimpunan bertujuan mengadakan kempen. Maka inilah rasionalnya kenapa kerajaan mewartakan Ordinan Darurat," katanya.
Mengandaikan sekiranya PRN Sarawak diadakan, beliau melahirkan kebimbangan berlakunya penularan kes baharu COVID-19 di kawasan pedalaman, yang akan mendatangkan masalah logistik bagi petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
"Kita (KKM) tidak mampu untuk sampai ke kawasan pedalaman yang jauh," katanya.
Di bawah Ordinan Darurat, Pilihan Raya Umum (PRU), PRN dan PRK tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #KKM #SOP #PRU #pelitup muka #pilihan raya kecil #rakyat #pilihan raya umum #perhimpunan #perkahwinan #kesihatan #operasi #Dr Noor Hisham Abdullah
;