Rakyat Perlis dilarang buat pembakaran terbuka

Bernama
Oktober 24, 2015 23:38 MYT
Sebanyak 63 anggota Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) membuat pemantauan di seluruh negeri untuk mengesan mereka yang melakukan pembakaran terbuka. - Foto Fail
Penduduk di negeri ini termasuk petani dilarang melakukan pembakaran terbuka untuk mengurangkan masalah jerebu, kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.
Beliau berkata walaupun selama ini para petani diberi kelonggaran membakar jerami padi mereka selepas menuai padi, tetapi dalam keadaan jerebu masa kini, mereka dilarang berbuat demikian.
Sebanyak 63 anggota Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) membuat pemantauan di seluruh negeri untuk mengesan mereka yang melakukan pembakaran terbuka.
"Kalau aktiviti itu dapat dikesan, para anggota berkenaan akan terus membuat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk tindakan selanjutnya," kata Mat Rawi kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Alam Sekitar peringkat negeri di Kampung Kurong Tengar di sini hari ini.
Mat Rawi berkata mereka yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000 dan jika kes dibawa ke mahkamah, mereka boleh didenda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
#Jabatan Alam Sekitar (JAS) #jerebu #pembakaran terbuka
;