Rakyat, pemimpin politik diseru cari titik pertemuan, kebersamaan - Mustapa
Astro Awani
Ogos 5, 2021 17:34 MYT
Ogos 5, 2021 17:34 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat dan pemimpin-pemimpin politik diseru untuk mencari titik pertemuan dan kebersamaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha meletakkan negara lebih aman dan stabil dari segi politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tempoh sebulan sebelum Parlimen bersidang harus digunakan sebaik mungkin untuk bermuafakat dan meletakkan negara dalam keadaan yang lebih stabil.
“Untuk mencapai matlamat sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu mengembleng seluruh tenaga dan buah fikiran mewakili pelbagai sektor, bagi menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang tidak pernah kita alami.
“Salah satu prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi ialah pelaburan dalam dan luar negeri.
“Pelaburan adalah di antara pemangkin kepada pemulihan ekonomi yang dapat menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan meningkatkan eksport.
“Iklim pelaburan yang kukuh serta kestabilan politik akan memastikan Malaysia dapat terus menarik pelaburan dari dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, kekuatan utama Malaysia sejak merdeka ialah kestabilan politik yang telah membolehkan negara ini mencapai kejayaan yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
Justeru beliau berpandangan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu mengenai rancangan untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada September ini telah mententeramkan keadaan.
Malah, beliau sifatkan pengumuman tersebut diterima baik oleh sebahagian besar rakyat.
[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 04 Ogos 2021
#Mustapa Mohamed
#Muhyiddin Yassin
#pelaburan
#ekonomi
#Perdana Menteri
#Parlimen
#sokongan Muhyiddin
#Majoriti Dewan Rakyat