Rakyat optimis 2021 lebih baik berbanding 2020 - Tinjauan Ipsos
Nailah Huda
Januari 5, 2021 12:27 MYT
Januari 5, 2021 12:27 MYT
KUALA LUMPUR: Dibayangi krisis kesihatan dan ekonomi hampir sepanjang tahun 2020, majoriti rakyat Malaysia bagaimanapun optimis tahun baharu 2021 ini akan memberikan harapan lebih baik.
Namun begitu, rata-rata rakyat di seluruh dunia, tahap kebimbangan tentang impak jangka masa panjang pandemik COVID-19 serta berhubung isu-isu pemanasan global dan ekonomi masih akan kekal.
Menurut tinjauan firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa, Ipsos, 76 peratus (3 daripada 4) rakyat negara ini berpandangan 2020 merupakan tahun paling buruk buat mereka serta anggota keluarga.
Hasil tinjauan mendapati kini 82 peratus (8 daripada 10) rakyat optimis dengan tahun 2021, berbanding 77 peratus di kesemua 31 negara yang terlibat dalam tinjauan itu.
China merupakan negara paling positif tentang tahun baharu ini (94 peratus) manakala Jepun pula palig kurang optimis, dengan hanya 44 peratus yang berpandangan bahawa 2021 akan lebih baik.
Berhubung akses kepada vaksin, 75 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa vaksin yang berkesan dalam mencegah COVID-19 akan tersedia di negara ini.
Peratusan ini lebih tinggi berbanding di Singapura (68 peratus) dan Britain (58 peratus).
Walau bagaimanapun, hanya 61 peratus percaya ekonomi negara akan pulih sepenuhnya daripada impak pandemik COVID-19.
Daripada jumlah yang sama, 61 peratus juga berpandangan kehidupa akan kembali normal susulan pemulihan kesan-kesan buruk pandemik, berbanding angka yang lebih rendah di negara lain seperti Singapura (42 peratus), Jepun (26 peratus) dan Britain (23 peratus).
Pada masa sama, pandemik COVID-19 menimbulkan kebimbangan rakyat berhubung kewujudan virus baharu.
Ipsos menganggarkan 70 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa satu pandemik global akan muncul akibat virus baharu pada masa akan datang.
Angka tersebut antara yang paling tinggi di seluruh dunia, berbanding 47 peratus secara purata bagi kesemua negara ditinjau.
Syarikat penyelidikan pasaran global itu menjalankan tinjauan ke atas 23,007 golongan dewasa di 31 negara dari 23 Oktober sehingga 6 November 2020 yang lalu.
#Optimis
#tahun baharu
#2021
#Ipsos
#tinjauan
#persepsi
#pandemik
#COVID-19
#pemanasan global
#ekonomi