Rakyat negara dengan lebih 150,000 kes positif COVID-19 dilarang masuk Malaysia - Ismail Sabri

Harits Asyraf Hasnan
September 3, 2020 13:38 MYT
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara rakyat negara asing yang disekat masuk adalah dari Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, Arab Saudi dan Itali. - Foto Astro AWANI
Kerajaan menetapkan warga asing dari negara yang merekodkan lebih 150,000 kes positif COVID-19 tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara rakyat negara asing yang disekat masuk adalah dari Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, Arab Saudi dan Itali.
“Kita telah bersetuju, setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen (JIM), kita akan tambah lagi negara-negara yang dianggap berisiko tinggi, yang jumlahnya (kes positif di negara asal) melebihi 150,000, kita akan sekat,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Ujarnya, perintah sekatan itu akan berkuatkuasa pada Isnin depan, 7 September bersekali dengan tiga buah negara iaitu Indonesia, India dan Filipina yang diumumkan pada Selasa lalu.
Jelasnya, sekatan itu turut merangkumi mereka yang berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.
“Bagaimanapun, jika ada sebarang kecemasan untuk mereka masuk ke Malaysia, ia bergantung kepada kelulusan yang dikeluarkan oleh JIM,” katanya.
Tambahnya, KKM akan mengeluarkan senarai penuh negara yang disekat masuk ke Malaysia pada minggu hadapan.
#Amerika Syarikat #Arab Saudi #Brazil #Filipina #India #Indonesia #ismail sabri yaakob #Itali #Kementerian Kesihatan #kerajaan #kes positif #KKM #koronavirus #Malaysia #PAS #warga asing
;