Rakyat mendahului pemimpin - Penganalisis

Hasbullah Awang Chik
Mei 9, 2013 07:19 MYT
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara Profesor Dr Mansor Mohd Noor berkata landskap politik hari ini melihatkan rakyat bergerak mendahului pemimpin masyarakat.
"Kerajaan buat baik rakyat akan beri sokongan namun jika berlaku sebarang masalah, rakyat pasti akan mengemukakan soalan," jelas Mansor dalam satu wawancara Analisis Awani yang disiarkan secara langsung di Astro Awani.
Penyelidik utama Institut Kajian Etnik (KITA) itu turut menjelaskan bahawa pemimpin negara harus menjadi fasilitator dan bukan pemerintah semata-mata.
Parti politik di Malaysia juga harus menggembleng pemikir yang berlatar belakangkan akademik mahupun pimpinan masyarakat agar landskapnya relevan dan bersesuaian dengan kehendak masyarakat.
Mansor melihat keputusan pilihan raya kali ini tidak bergantung kepada peralihan kaum Cina semata-mata tetapi turut dipengaruhi dengan jumlah pengundi tertinggi dalam sejarah pilihan raya.
"Pengundi kali ini ingin mengubah sesuatu dan mengekalkan sesuatu. Ada yang melihat penggabungan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menjejaskan syiar Islam namun ada yang memandangnya sebagai strategi untuk mengukuhkan kuasa dalam PR," jelas Mansor.
Klik untuk wawancara penuh Analisis AWANI.
#analisis awani #fasilitator #kerajaan #KITA #Mansor Mohd Noor #pemimpin #rakyat
;