Rakyat Melaka, pemastautin masuk percuma ke destinasi pelancongan bermula 24 Ogos ini

Bernama
Jun 5, 2024 10:15 MYT
Zoo Melaka antara destinasi pelancongan yang boleh dimasuki secara percuma oleh rakyat Melaka dan pemastautin di negeri itu sempena ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri bermula 24 Ogos hingga 31 Dis ini. - Gambar fail/BERNAMA
MELAKA: Rakyat Melaka dan pemastautin di negeri itu berpeluang masuk percuma ke destinasi pelancongan di Melaka sempena ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam bermula 24 Ogos hingga 31 Dis ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tawaran masuk percuma itu melibatkan antaranya Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan Muzium Melaka.
"Tawaran berkenaan diberikan kepada pemilik kad pengenalan 04 dan pemastautin sebagai tanda penghargaan dan rasa gembira atas pelantikan semula Tun Mohd Ali Rustam selain sempena ulang tahun kelahiran Tun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena pelantikan Yang Dipertua Negeri Melaka di sini malam tadi. Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Semalam, Mohd Ali, 75, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata tawaran percuma itu terhad kepada satu destinasi untuk seorang dan mereka boleh memilih lokasi pelancongan tersebut dan tarikh yang bersesuaian.
"Kaedah terperinci bagi menebus tiket percuma berkenaan akan saya umumkan dalam masa terdekat ini agar semua rakyat Melaka dapat menikmati tawaran berkenaan," katanya.
Kerajaan Melaka mengumumkan 24 Ogos depan sebagai cuti peristiwa sempena ulang tahun kelahiran Mohd Ali.
-- BERNAMA
#masuk percuma #Destinasi pelancongan #Melaka #Ab Rauf Yusoh
;