Rakyat masih harap perdana menteri dan kerajaan selesaikan isu ekonomi - Penganalisis

Astro Awani
November 21, 2023 22:58 MYT
Dalam tempoh setahun ini, banyak cabaran yang terpaksa ditempuh oleh Anwar sebagai perdana menteri sebuah kerajaan yang mengandungi banyak parti. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tiga hari lagi genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tugas sebagai perdana menteri dan kerajaan perpaduan dibentuk.
Dalam tempoh setahun ini, banyak cabaran yang terpaksa ditempuh oleh Anwar sebagai perdana menteri sebuah kerajaan yang mengandungi banyak parti.
Penulis Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, Dr G Manimaran berpendapat, Anwar merupakan perdana menteri pertama mendapat cabaran yang begitu sengit.
"Secara keseluruhan saya melihat, inilah perdana menteri kali pertama dalam sejarah berhadapan cabaran yang begitu sengit.
"Semua perkara, politik, agama, ekonomi dan sosial, semua empat sudut, tak ada mana-mana perdana menteri yang pernah sebab perdana menteri sebelum ini majoritinya selesa, cukup kuat dua pertiga.
"Kali ini tidak dapat bentuk kerajaan dengan gabungan sendiri kecuali kerajaan campuran kerana sokongan berbagai parti. Jadi beliau perlu memainkan peranan yang lebih seimbang supaya tidak menjejaskan undi kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-16, mungkin dua tahun dari sekarang," katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Dalam tempoh setahun ini jelasnya, banyak rungutan diterima dan ada yang berpendapat kerajaan ini terlalu bergantung kepada sosok Anwar.
Malah ujarnya, ada juga yang berpendapat begitu ramai yang membarisi Kabinet Anwar tidak efektif dan dilihat bekerja secara sendirian.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, kelemahan komunikasi strategik menjadi punca Kerajaan Perpaduan ini dilihat tidak efektif.
"Kalau kita melihat dalam konteks ini, rata-rata menyifatkannya kelemahan dalam konteks komunikasi strategik kerajaan.
"Naratif-naratif atau inisiatif-inisiaif yang dikemukakan kerajaan walaupun baik sebenarnya tetapi gagal diangkat untuk diterima oleh rakyat terbanyak.
"Sebagai contoh ketika PRN baru-baru ini, kalau kita lihat pengumuman kenaikan subsidi padi kepada pesawah yang diumumkan pada penghujung kempen.
"Semasa kami turun ke bawah perkara itu tidak sampai kepada kelompok sasar iaitu pesawah dan petani, bagi saya ada masalah di situ dalam konteks penyampaian kerajaan," katanya.
Hisomuddin menjelaskan isu komunikasi strategik kerajaan itu perlu segera diatasi kerana rakyat makin mudah mendapat maklumat dengan adanya media sosial.
Untuk tahun-tahun mendatang sebelum tibanya PRU16 katanya, rakyat berharap agar perdana menteri dan kerajaan memberi tumpuan kepada isu ekonomi.
Ujarnya, segala kelemahan dalam masa setahun ini perlu segera diatasi selain berusaha untuk memulihkan ekonomi rakyat.
Agenda AWANI: Selepas setahun PRU15…
#Kerajaan Perpaduan #komunikasi #strategik #pertumbuhan ekonomi Malaysia
;