Rakyat Malaysia yang masih di Ukraine, diminta hubungi Malawakil di Warsaw

Bernama
Mac 3, 2022 14:38 MYT
Saifuddin berkata perkara itu penting, memandangkan urusan kedutaan Malaysia di Ukraine masih tergantung ketika ini. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang berkemungkinan masih berada di Ukraine, diminta menghubungi pejabat perwakilan Malaysia atau Malawakil yang terdekat iaitu di Warsaw, Poland bagi mendapatkan sebarang bantuan.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata perkara itu penting, memandangkan urusan kedutaan Malaysia di Ukraine masih tergantung ketika ini, selepas semua pegawai dan rakyat Malaysia di negara itu telah selamat dibawa pulang ke tanah air.
"Mungkin ada rakyat Malaysia seorang, dua yang tidak berdaftar dengan Malawakil, dan nasihat kita dia harus berhubung dengan kedutaan kita yang paling dekat dengan Ukraine, iaitu di Warsaw, Poland.
"Ini kerana kita tidak wajibkan rakyat kita yang berada di mana-mana untuk daftar dengan Malawakil, tetapi selalunya apabila berlaku bencana alam dan konflik seperti di Ukraine, kita galakkan rakyat kita melapor dan sekiranya ada seorang, dua lagi, manalah tau, kalau perlu bantuan kita akan bantu seperti biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.
#Rusia #Ukraine #kedutaan #Saifuddin Abdullah #rakyat Malaysia
;