Rakyat Malaysia terkandas di Thailand berdepan denda, disenarai hitam
Bernama
Jun 1, 2022 16:06 MYT
Jun 1, 2022 16:06 MYT
PASIR MAS: Rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 sebelum ini, berdepan denda dan berisiko disenarai hitam akibat daripada dokumen perjalanan yang tamat tempoh.
Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailand Mohd Yusoff berkata, mengikut maklumat diperoleh, pemilik dokumen perjalanan dikenakan denda sehingga mencecah RM2,500 dan berdepan tindakan disenarai hitam selama tiga tahun oleh undang-undang Thailand.
Beliau berkata masalah dihadapi itu telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mereka dalam proses rundingan dengan kerajaan Thailand bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu.
"Saya menerima banyak aduan masalah rakyat kita berkaitan dokumen perjalanan yang tamat tempoh sepanjang PKP sebelum ini yang tidak dapat cop dan sebagainya.
"Perkara ini (denda dan senarai hitam) kita tidak boleh ubah melainkan ia mendapat persetujuan daripada kerajaan Thailand. Kita cuba berunding dengan KDN untuk mempermudahkan perkara ini sekali gus dapat meringankan mereka kerana ada yang hanya bekerja buruh dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama kebenaran kenderaan persendirian merentas Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini hari ini.
Mengenai pembukaan sempadan hari ini, Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ia dapat membantu merancakkan semula ekonomi kedua-dua negara serta mengembalikan hubungan kekeluargaan antara rakyat Malaysia-Thailand.
"Hasil tinjauan saya hari ini mendapati masyarakat mula mengambil peluang sempena pembukaan ini untuk ke Thailand dan juga sebaliknya. Saya juga ingin berterima kasih kepada kerajaan Thailand kerana memberi kelonggaran kepada kenderaan rakyat kita yang terperangkap dan tersadai di sana tanpa sebarang bayaran.
"Saya dimaklumkan sepatutnya pada hari biasa kenderaan yang berada di sana dikenakan kadar bayaran sebanyak RM140 sehari bagi setiap kenderaan dan maksimum bayaran dikenakan boleh mencecah sehingga RM1,400 sehari," katanya.
Beliau turut berharap rakyat di negara ini dapat merebut peluang diberikan oleh kerajaan Thailand untuk membawa pulang kenderaan yang tersadai di sana tanpa sebarang bayaran dikenakan bermula hari ini hingga 30 Jun.
-- BERNAMA