Rakyat Malaysia tanpa slip gaji, kini lebih mudah buat pinjaman perumahan - PM

Firdaus Azil
Mac 4, 2022 17:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menandatangani plak pada Lawatan Residensi Larkin di Residensi Larkin Indah hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Golongan Keluarga Malaysia yang tidak mempunyai slip gaji, kini boleh membuat pinjaman untuk membeli rumah idaman masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, penubuhan anak syarikat Kementerian Kewangan, iaitu Skim Jaminan Kredit Berhad (SJKP) membolehkan golongan berkenaan membuat pinjaman yang dijamin kerajaan sendiri.
Katanya lagi, usaha tesebut selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP.
“Seperti saya sebutkan tadi pinjaman merupakan isu. Salah satu syaratnya adalah slip gaji dan sebagainya. Ramai yang bekerja sendiri tiada mempunyai slip gaji. Jadi dengan Skim Jaminan Kredit Berhad ini, yang tidak mempunyai slip gaji pun boleh pohon pinjaman, kerana ia akan dijamin kerajaan.
“Ini usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan kumpulan yang tidak mempunyai jawatan tetap dan sebagainya, boleh miliki rumah sendiri,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Penyampaian Surat Tawaran kepada bakal pembeli Residensi Larkin Indah, di sini hari ini.
Turut menghadiri majlis tersebut ialah Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Shahril Sufian Hamdan, serta Pengerusi PR1MA Datuk Fathul Bari Mat Jahya.
Melalui aspirasi ‘1 Keluarga 1 Rumah’, KPKT melalui PR1MA telah menjalin kerjasama dengan SJKP bagi melaksanakan Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA.
PR1MA melalui satu kenyataan media berkata, SJKP ditubuhkan untuj memberikan sokongan kepada mereka yang tidak mempunyai dokumentasi lazim seperti slip gaji, dan penyata KWSP.
Melalui program SJKP, ia dijangka dapat meningkatkan kadar kelulusan pembiayaan pinjaman perumahan di kalangan anak muda yang terlibat dalam sistem ekonomi gig, dan bakal peminjam bakal memperolehi pembiayaan lebih tinggi sehingga 100 peratus.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, penubuhan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) sebagai agensi utama pengurusan perumahan dan hartanah di Johor, dijangka dapat memberi nilai tambah kepada penubuhan agensi seperti PR1MA.
“Saya amat berbangga dengan usaha Kerajaan Johor bersama-sama agensi Kerajaan lain seperti PR1MA untuk merealisasikan projek-projek perumahan di seluruh negeri Johor dalam menyahut seruan kerajaan untuk membina perumahan yang berdaya huni.
“Ini selari dengan aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik," katanya.
Majlis hari ini, kata Perdana Menteri, merupakan bukti keprihatinan pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor serta pihak PR1MA dalam pemilikan rumah bagi Keluarga Malaysia yang berpendapatan sederhana di negeri ini dan kesungguhan mereka untuk membina komuniti pada hari esok.
Ismail Sabri berkata, beliau yakin, Johor di bawah pentadbiran Hasni akan terus berdaya maju, baik dari segi penarikan pelaburan asing, sehinggalah kepada usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.
#ismail sabri yaakob #Pinjaman Perumahan #Skim Jaminan Kredit Berhad #PR1MA
;