Rakyat Malaysia sanggup buat kerja 3D jika dibayar RM4,000 - Liew Chin Tong
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 7, 2019 14:14 MYT
Mac 7, 2019 14:14 MYT
Benarkah sikap rakyat Malaysia yang memilih kerja dan tidak mahu pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar merupakan antara faktor pengangguran di negara ini?
Mungkin ramai yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju.
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, menyifatkan pendapat yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia enggan bekerja dalam sektor 3D (dirty, dangerous and difficult) adalah mitos semata-mata.
Ini kerana, katanya dalam satu artikel, situasi itu sebenarnya tidak akan berlaku jika gaji yang ditawarkan adalah setimpal atau saksama.
Jelasnya, lebih 40 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura adalah dari sektor yang membabitkan kategori 3D.
“Mereka akan gembira untuk pulang bekerja di Malaysia jika mereka dibayar gaji RM4,000 sebulan atau lebih.
"Masalah kita ialah, pekerjaan yang layak buat rakyat Malaysia ini dibayar kurang daripada RM1,500 sebulan, akibat terlalu ramai pekerja asing tidak mahir yang menyebabkan kadar gaji tidak berubah sejak dua dekad yang lalu.
"Lebih teruk lagi, sekiranya graduan kita dibayar antara RM1,500 dan RM2,500 sebulan, sudah tentu pekerja buruh tidak akan dibayar dengan gaji lebih tinggi,” tulisnya dalam artikel tersebut.
Jelasnya, jika berlaku peningkatan bayaran kepada pekerja, gaji untuk pekerjaan kelas sederhana turut meningkat dan membentuk kitaran ekonomi yang baik mungkin akan berlaku.
“Jika kita gagal menghadapi cabaran pekerjaan dan gaji, kita bakal berhadapan dengan krisis politik pada satu masa nanti. Kita sudah lihat beberapa petanda krisis ini.
"Malangnya, perdebatan mengenai kos sara hidup telah menguasai minda pemimpin politik dan orang awam," katanya.
Liew berkata, berdasarkan statistik, kadar inflasi adalah 1 peratus pada 2018 (3.7 peratus pada 2017) dan -0.7 peratus (tahun ke tahun) pada Januari 2019.
"Namun, tiada siapa nampaknya yang mendapat faedah daripada kadar inflasi yang rendah dan deflasi teknikal ini.
"Puncanya mudah sahaja. Ia bukan masalah kos sara hidup yang tinggi, tetapi gaji yang rendah!" katanya.
Menurutnya, akibat penghijrahan tenaga kerja ke luar negara, rakyat yang sepatutnya boleh menyumbang dan berbakti kepada negara, tidak dapat merealisasikan potensinya.
Menurutnya, pekerjaan yang mereka ceburi di luar negara pula tidak sepadan dengan kelayakan mereka – contohnya memetik buah di Australia dan New Zealand, atau bekerja sebagai buruh di Korea Selatan.
"Tiba masanya kita mengubah kerangka fikiran dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pekerjaan dan gaji,” tambahnya.
#dirty dangerous and difficult
#ekonomi
#faktor pengangguran
#kotor berbahaya dan sukar
#Liew Chin Tong
#pekerja asing
#rakyat Malaysia
#Timbalan Menteri Pertahanan