Rakyat Malaysia perlu yakin untuk melancong dalam negara sendiri

Firdaus Azil
Disember 10, 2020 10:54 MYT
MOTAC sedang giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek untuk kembali merancakkan pelancongan dalam negara.
KUALA LUMPUR: Penting untuk Kerajaan membina membina semula keyakinan di kalangan rakyat bahawa adalah selamat untuk melancong di dalam Malaysia, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Sehubungan itu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri, Kementerian sedang giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek untuk kembali merancakkan pelancongan dalam negara.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, ia selaras dengan keputusan Kerajaan memperkenalkan gelembung perjalanan domestik zon hijau serta kebenaran rentas daerah dan negeri baru-baru ini,
“Kita yakin bahawa penggiat industri pelancongan kita telahpun bersedia dalam aspek ini dari awal dan terus boleh bergerak sepenuhnya sebaik sahaja aktiviti pelancongan dibenarkan.
“Kita juga beri galakan untuk rakyat kita melancong. Untuk ini, kita tawarkan kepada rakyat insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, cashback dalam bentuk e-wallet dan diskaun untuk tempahan pakej pelancongan, penginapan dan pengangkutan,” katanya lagi.
Nancy berkata, dalam erti kata lainnya, Kerajaan memberikan bantuan kewangan atau membayar sebahagian atau dengan izin, certain portion dalam perbelanjaan untuk rakyat melancong dalam negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu Kementerian menyatakan strategi jangka pendek bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula sepenuhnya susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mengulas lanjut, Nancy berkata, MOTAC akan meneruskan kerjasama dengan penggiat-penggiat industri dan semua Kerajaan Negeri dalam membangun dan menawarkan pakej-pakej pelancongan baru yang menarik melalui platform digital.
“Kita perkenal dan promosikan destinasi pelancongan di luar bandar atau hidden gems, kerana pelancong kini lebih cenderung memilih destinasi yang selamat, kurang orang dan udara segar.
“Selain itu, MOTAC akan teruskan siri Jelajah Semarakkan Pelancongan Domestik. Kita akan pergi ke seluruh negara untuk mempromosikan pelancongan domestik, memperkenalkan produk baru pelancongan dan juga memberi nafas baru kepada produk sedia ada,” katanya lagi.
#Nancy Shukri #pelancongan #Dewan Rakyat #rakyat #keselamatan #pelancong #rentas negeri #Majlis Keselamatan Negara #Parlimen
;