Rakyat Malaysia perlu syukur dengan nikmat keamanan - Hishammuddin

Bernama
Julai 16, 2015 18:20 MYT
HISHAMMUDDIN: Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana terus dikurniakan nikmat keamanan. -Gambar fail
Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana terus dikurniakan nikmat keamanan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya, meskipun negara dilanda pelbagai ujian dan tragedi, namun rakyat Malaysia masih dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.
"Bayangkan nasib rakyat di negara lain yang terpaksa berhadapan dengan segala macam kepayahan termasuk peperangan, penindasan dan kekejaman.
"Di kepala mereka tidak terlintas langsung soal mahu berhari raya, sebaliknya mereka hanya memikirkan bagaimana cara untuk terus hidup," katanya hari ini dalam perutusan Aidilfitri.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata Aidilfitri bukan sahaja menandakan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, sebaliknya Aidilfitri sarat dengan makna, sejarah dan nilai tersendiri.
"Saya doakan semoga limpahan rahmat dan keberkatan memayungi kita semua. Kepada muslimin dan muslimat, di dalam mahupun luar negara, serta seluruh rakyat Malaysia, Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin," katanya.
#berhari raya #bersyukur #Hishammuddin Tun Hussein #kekejaman #penindasan #peperangan #tragedi
;