Rakyat Malaysia pemurah... RM2.4 juta tip disumbang menerusi Grab ketika PKP

Nailah Huda
Jun 27, 2020 10:24 MYT
Sumbangan ini mencatatkan peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sebelum PKP. Foto - Astro AWANI.
Meskipun keadaan ekonomi menggusarkan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kemurahan hati rakyat Malaysia tetap terserlah.
Sepanjang tempoh itu, pemandu dan penghantar Grab dilapor menerima tip terkumpul berjumlah lebih RM2.4 juta.
Jumlah keseluruhan sumbangan tip ini mencatatkan peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sebelum PKP, kongsi syarikat e-hailing Grab di laman web rasmi.
Malah, seorang pengguna aplikasi itu dilapor menyumbang tip berjumlah RM500 sebagai tanda penghargaan.
“Tidak kira apa pekerjaan atau situasi anda, kita semua boleh saling membantu antara satu sama lain.
"Ia hanya memerlukan satu tindakan baik,” kata pengguna itu dalam komennya yang dikongsikan di laman web Grab.
Lembah Klang merekodkan jumlah pengguna paling ramai menyumbang tip dengan lebih RM160,000 secara kumulatif.
Ia diikuti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.
Sementara itu, Kuala Terengganu pula mencatatkan purata tip tertinggi bagi setiap tempahan menerusi aplikasi itu.
Menurut Grab, analisis mereka mendapati trend sumbangan tip semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sepanjang pelaksanaan PKP, satu tip direkodkan dalam 30 tempahan menerusi Grab berbanding satu tip bagi setiap 100 tempahan sebelum tempoh PKP.
Secara purata, rakyat Malaysia menyumbang tip berjumlah lebih RM30,000 setiap hari kepada pemandu dan penghantar Grab.
Rata-rata rakyat semakin banyak menggunakan perkhidmatan penghantaran barang dan makanan apabila premis perniagaan perlu ditutup dan rakyat dikehendaki duduk di rumah bagi mengekang penularan COVID-19.
Antara semua perkhidmatan yang disediakan Grab, penghantaran makanan atau GrabFood meraih sumbangan tip tertinggi dengan jumlah kumulatif lebih RM2 juta.
Ekoran trend pemberian tip yang semakin meningkat, Grab kini membenarkan pengguna memberi tip ketika perjalanan masih berlangsung.
Ini bermakna pengguna tidak perlu lagi menunggu sehingga perjalanan atau perkhidmatan diselesaikan untuk menyumbang tip.
#COVID-19 #e-hailing #ekonomi #grab #koronavirus #penghantaran makanan #PKP #PKPP #rider #tip
;