Rakyat Malaysia maut ditembak di Tak Bai

Bernama
Ogos 19, 2020 17:24 MYT
polis sedang menyiasat motif kes itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tak Bai untuk bedah siasat. -Gambar hiasan
Seorang rakyat Malaysia ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian kepala di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand, malam tadi.
Ketua Polis Tak Bai Kol Pol Suthawet Thareethai berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Ridzuan Ab Llah, 31, dari Pasir Mas, Kelantan ditemukan mati di Kampung Tasik di Tak Bai pada jam 8.40 malam (waktu tempatan).
"Mangsa dipercayai terkena tembakan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati lelaki tersebut tiada rekod masuk ke Thailand," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata polis sedang menyiasat motif kes itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tak Bai untuk bedah siasat.
Menurutnya, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
-- BERNAMA
#Hospital #kepala #Malaysia #mati ditembak #pistol #rakyat Malaysia #tak bai #Thailand
;