Rakyat Malaysia masih ke Turki walaupun berlaku cubaan rampasan kuasa - Matta

Bernama
Julai 18, 2016 21:43 MYT
Agensi pelancongan memberitahu bahawa rakyat malaysia tidak membatalkan jadual dan tempahan percutian mereka ke Turki. - Gambar hiasan
Walaupun kejadian cubaan rampasan kuasa berlaku di Turki baru-baru ini, rakyat Malaysia masih ke Istanbul dan wilayah di sekitarnya, kata Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Hamzah Rahmat.
"Setakat ini, saya belum dengar pembatalan perjalanan kerana penerbangan ke Turki sudah kembali normal. Lagipun, ia merupakan cubaan rampasan kuasa yang gagal. Turki adalah negara yang wajib dikunjungi dan saya percaya mereka akan cepat pulih daripada pengalaman pahit itu," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Hamzah menasihatkan rakyat Malaysia yang ke luar negara supaya mengembara dengan bijak dan sentiasa berjaga-jaga.
"Sekiranya anda merancang untuk tinggal dalam jangka masa lama, dinasihatkan agar anda mendaftar di Konsulat.
"Anda juga boleh merujuk kepada agensi pelancongan anda sekiranya berlaku kecemasan kerana mereka tahu apa yang perlu dibuat dan akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk memastikan keselamatan anda," katanya.
Sementara itu, menurut perunding pelancongan dari Eden Tours & Travel, Serene Loong, setakat ini, pelanggannya tidak membatalkan percutian ke Turki yang telah ditempah lebih awal.
"Tiada siapa yang membatalkan tempahan mereka. Pelanggan saya tetap akan ke Turki walaupun berlaku kejadian cubaan rampasan kuasa minggu lepas," katanya.
Loong berkata perjalanan ke Istanbul dan Izmir yang dikendalikan agensi pelancongan itu juga masih berjalan.
Bagi Pegawai Perjalanan Luar Holiday Tours & Travel, Cindy Lee, pelanggannya masih menempah tiket penerbangan ke destinasi lain menerusi Istanbul kerana ia merupakan bandar transit bagi Turkish Airlines.
"Semuanya terpulang kepada pelanggan kami, sama ada mereka mahu pergi atau tidak. Tetapi setakat ini, masih ada pelanggan yang menempah tiket penerbangan Turkish Airlines dengan kami," katanya.
Bagaimanapun, Lee berkata memandangkan bulan ini bukanlah musim untuk pelancong santai melawat Turki, kejadian baru-baru ini bukanlah perkara besar buat agensi pelancongannya.
Kedutaan Turki di Malaysia mengumumkan dalam laman webnya semalam bahawa kerajaan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, anggota Perhimpunan Kebangsaan Agung Turki dan seluruh rakyat Turki bersama-sama menggagalkan cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai lepas.
Kementerian Luar pula dalam kenyataan semalam mengesahkan keadaan di Turki kini hampir normal dan laporan menunjukkan semua lapangan terbang di Turki kembali beroperasi.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada nasihat perjalanan dikeluarkan oleh kedua-dua kementerian dan Kedutaan Turki di Malaysia kepada rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk ke Turki.
#Istanbul #MATTA #pelancong malaysia #pelancongan #Turki