Rakyat Malaysia kongsi pengalaman mengundi di AS

Hasimi Muhamad
November 4, 2020 14:10 MYT
Menurut Nuryani yang sudah 12 tahun menetap di AS, kaedah undi pos lebih selamat sekiranya pengundi risau mengenai ancaman COVID-19. - Foto: Reuters
KUALA LUMPUR: Di sebalik kebimbangan penularan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), pengundi-pengundi berdaftar di negara itu dilihat lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab mereka berbanding pilihan raya, sebelum ini.
Keadaan itu disifatkan kerana para pengundi di negara Uncle Sam itu sudah mula 'muak' dengan kepimpinan Donald Trump, dan mahukan perubahan segera terhadap pentadbiran.
Pengundi, Nuryani Asari, 38 tahun, berkata para pengundi mula beratur seawal pukul 7 pagi di salah satu Pusat Mengundi di Upper Eastside, Manhattan, New York bagi mengelakkan kesesakan berikutan pilihan raya kali ini berlangsung dalam kebiasaan baharu.
"Sejak tiga setengah tahun yang lepas telah membuktikan betapa Amerika Syarikat telah mundur dengan kepimpinan Trump. Jadi, dijangka lebih ramai penyokong dan pengundi inginkan perbezaan dalam kepimpinan presiden, dan ramai pengundi menyokong Joe Biden.
"Ia bagi membetulkan atau menolong negara ini dari segi ekonomi dan isu sosial serta isu diskriminasi terhadap orang berkulit hitam, selain berkait dengan pengendalian pengurusan COVID-19," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu (waktu Malaysia).
Nuryani yang sudah 12 tahun menetap di AS berkata, pilihan raya kali ini cukup berbeza berbanding dua pilihan raya yang pernah dia lalui sebelum ini.
Selain diadakan dalam norma baharu, dia berkata buat pertama kali pengundi turut berpeluang untuk menjalankan undi awal atau pos bagi mengekang penularan jangkitan.
"Pertama mereka telah diberikan kertas undi sejak bulan lepas dan kami dapat mengundi melalui pos. Jika mahu memastikan yang undi kita akan dikira, kami boleh datang secara peribadi untuk pengundian awal yang telah dimulakan sejak minggu lepas.
"(Kaedah undi pos) lebih selamat sekiranya pengundi risau mengenai COVID-19," ujarnya lagi.
Setakat pukul 2 petang ini, Biden mendahului dengan 223 undi berbanding Trump yang memperoleh 212 undi, di mana calon memerlukan 270 undi elektoral untuk memenangi jawatan Presiden AS.
Berkongsi lebih lanjut, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, keadaan jangkitan COVID-19 di New York disifatkan lebih terkawal berbanding di negeri-negeri lain.
Katanya, penduduk di kawasan tersebut lebih berdisiplin dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
"Sebab di Amerika Syarikat mereka tiada arahan umum. Di Malaysia, ia sangat tersusun kerana ada arahan (di peringkat) nasional dan semua mematuhi perkara tersebut.
"Di sini, gabenor-gabenor negeri memutuskan peraturan mereka sendiri untuk penduduk di negeri masing-masing. Jadi, kalau nak pergi ke negeri-negeri lain peraturannya sedikit berbeza. Sebagai contoh, negeri di timur laut, mereka tidak memakai pelitup muka kerana kes rendah di sana," katanya.
VIDEO: AS Memilih: Donald Trump atau Joe Biden?
Bagaimanapun, Nuryani yang mula berpindah ke AS sejak 2008 untuk melanjutkan pelajaran sebelum mendirikan rumah tangga dengan warga Amerika, tidak terlepas daripada impak COVID-19 apabila dia turut kehilangan pekerjaan pada April lalu.
Dia yang bekerja sebagai pentabdir jualan di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pelancongan terpaksa akur dengan keadaan tersebut, selain berdepan kesukaran untuk kembali mendapatkan pekerjaan.
"Sesiapa yang kehilangan pekerjaan boleh mendaftar untuk mendapatkan pampasan iaitu sekitar 20 atau 30 peratus kurang daripada gaji.
"Alhamdulillah, dapat menampung keluarga seperti membayar sewa dan membeli barangan asas. Pampasan diberikan selama 52 minggu dan ia membantu kita untuk mencari pekerjaan," katanya.
Jelas Nuryani, ketika ini dia sedang menjalani program 'bootcamp' bagi meningkatkan kemahirannya.
#Donald Trump #COVID-19 #New York #Amerika Syarikat #pilihan raya #pelancongan #Joe Biden #kehilangan kerja
;