Rakyat Malaysia kecewa dengan penjelasan Tabung Haji: Husam

Astro Awani
Mei 10, 2015 13:08 MYT
HUSAM: Penjelasan Abdul Azeez pada satu sidang media semalam hanya menambahkan luka dan mempermainkan rakyat Malaysia.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata rakyat Malaysia kecewa dengan penjelasan Lembaga Tabung Haji (TH) yang disifatkan hanya satu pengesahan melaksanakan 'tugas suci' membayar RM188.5 juta kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Tidak ada pembatalan transaksi, tidak ada kekesalan dan permohonan maaf.
"Bahkan tidak ada penjelasan kenapa bayaran penuh dilunaskan pada masa perjanjian jual beli itu dimeterai dan bayaran yang begitu tinggi diluluskan.
"Juga isu lain yang terdapat dalam dokumen yang dibocorkan," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata, penjelasan Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung perkara itu pada satu sidang media semalam hanya menambahkan luka dan mempermainkan rakyat Malaysia.
BACA: TH putuskan jual tanah TRX - Abdul Azeez
"Kononnya bagi menghormati perasaan pencarum, tanah berkenaan akan dijual dalam 1 atau 2 minggu ini dengan keuntungan RM5 juta.
"Katanya, atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang diterimanya pagi ini (semalam)," katanya lagi.
Husam berkata pengumuman Abdul Azeez bahawa TH bersetuju menjual tanah tersebut biarpun pada awalnya enggan berbuat demikian menimbulkan banyak persoalan, antaranya berhubung integriti TH dan kredibiliti anggota Majlis Tertinggi UMNO itu.
"Adakah dengan ‘nasihat perdana menteri’, sebuah lembaga boleh menukar keputusannya sebegitu mudah?
"Jika itu kedudukan TH, bagaimana kita boleh meyakini ia membuat keputusan pembelian itu sebelum ini tidak semata-mata hanya atas ‘nasihat perdana menteri’?" soalnya.
Semalam Abdul Azeez dalam satu sidang media mengumumkan TH akan menjual sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di projek Tun Razak Exchange yang dibeli dari 1MDB sebelum ini.
VIDEO: Sidang media oleh Pengerusi Tabung Haji tentang pembelian tanah 1MDB
Katanya, TH membuat keputusan tersebut setelah mendapat nasihat dari perdana menteri sebagai menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.
Pada Rabu, blog The Benchmark mendedahkan TH telah melakukan urus niaga membeli tanah seluas 1.5 ekar (0.61 hektar) milik 1MDB di projek TRX.
Ekoran pendedahan tersebut, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya TH membatalkan urus niaga pembelian tanah tersebut serta merta.
Dr Mahathir berkata wang pencarum yang digunakan Tabung Haji dalam urus niaga tersebut bukan merupakan milik mereka.
BACA: Wang ini bukan milik Tabung Haji, kenapa guna untuk selamatkan 1MDB? - Tun M
Manakala pemuda UMNO pula menzahirkan kebimbangan berkenaan pembelian tanah itu oleh Tabung Haji daripada 1MDB.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda UMNO yang mahukan Kementerian Kewangan dan TH memberi penjelasan berhubung pembelian tanah tersebut.
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir pula mempertikaikan tindakan TH yang membeli hartanah milik 1MDB dengan nilai yang tinggi.
BACA: Tabung Haji, sila beri penjelasan berhubung jual beli tanah TRX - Pemuda UMNO
BACA: Tabung Haji: Muhyiddin sokong kenyataan Pemuda UMNO
BACA: 'Kenapa TH sanggup bayar harga begitu tinggi untuk tanah 1MDB?' - Mukhriz
#1MDB #Abdul Azeez Abdul Rahim #Husam Musa #Tabung Haji #TUn Raza Exchange
;