Rakyat Malaysia ke luar negara disaran lapor keberadaan kepada kedutaan - Mohamad
Bernama
November 2, 2024 15:53 MYT
November 2, 2024 15:53 MYT
SEREMBAN: Rakyat Malaysia yang ke luar negara sama ada untuk melancong, bekerja atau melanjutkan pelajaran digalakkan memaklumkan lokasi keberadaan atau nombor telefon mereka kepada kedutaan di negara dikunjungi.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia bagi memudahkan pihak berkaitan menghubungi mereka sekiranya berlaku sebarang perkara mustahak.
"Itu sebabnya saya sebut rakyat Malaysia, mereka perlu hubungi kedutaan terdekat untuk memberitahu alamat mereka dan nombor nak dihubungi... kita tak semestinya ada rekod (kehadiran mereka).
"Hal ini kerana mereka yang datang ke sesebuah negara ada yang belajar secara persendirian, mereka kadang-kadang tidak mendaftar (dengan kedutaan), jadi kita tak tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Persatuan Solidariti Nasional (Persona) kali-kesembilan di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan mengenai seorang warga tempatan terlibat sebagai askar upahan dalam konflik antara Rusia dan Ukraine dengan MyKad serta lesen memandunya ditemukan di medan perang di Ukraine dan berdasarkan maklumat, individu itu hanya belajar di luar negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata polis telah menghubungi Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur, manakala Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir turut memaklumkan kementeriannya sedang mengumpulkan maklumat mengenai dakwaan itu.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata setakat ini Kementerian Luar tidak terlibat secara langsung dalam isu itu, namun sentiasa memantau dan sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.
"Belum sampai ke tahap Kementerian Luar... Kementerian Pendidikan Tinggi dan Angkatan Tentera Malaysia sedang melihat perkara itu, lelaki itu didakwa merupakan seorang pelajar. Kita sedia uruskan apa jua perkara yang diperlukan," katanya.
Sementara itu, mengulas penyertaannya ke Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel Ke-27 (CHOGM 2024) di Apia, Samoa baru-baru ini, Mohamad berkata isu perubahan iklim dan kenaikan paras air laut yang mengancam negara-negara pulau antara menjadi topik utama.
"Hal ini kerana nak uruskan perubahan iklim bukan suatu yang mudah untuk ditangani, ia memerlukan teknologi dan biaya yang besar serta sokongan negara maju... semua negara bersetuju untuk mengatasi pemanasan global dan mahu mengekang pemanasan global pada 1.5 darjah Celsius menjelang 2030," katanya.
Terdahulu, Mohamad yang juga penaung Persona berharap persatuan itu menjadi 'jambatan' dua hala yang menghubungkan antara kerajaan dengan rakyat dalam pelbagai aspek terutama membantu menyebarluaskan dasar serta inisiatif kerajaan.
-- BERNAMA