Rakyat Malaysia ditahan di Filipina bukan pakar bom - KPN
Astro Awani
Oktober 27, 2016 14:03 MYT
Oktober 27, 2016 14:03 MYT
Polis menafikan dakwaan bahawa lelaki Kelantan yang ditahan pihak berkuasa Filipina di pekan Maluso, Pulau Basilan ketika cuba menyelinap masuk ke sempadan Malaysia baru-baru ini, adalah pakar bom.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, hasil maklumat risikan dan temubual keluarga suspek di Kelantan mendapati suspek pergi ke negara itu berkemungkinan untuk belajar ilmu agama.
Bagaimanapun, ujar Khalid, pihaknya masih sedang menunggu laporan lanjut mengenai penahanan berkenaan.
“Tujuan dia ialah sebagai penuntut bidang agama. Jadi mungkin dia hendak menyebarkan agama Islam ataupun dia hendak menuntut ilmu lanjutan di sana.
“Kita sedang mununggu laporan dari sana tapi apa yang kita tahu risikan yang kita buat, dia bukanlah pakar bom dan mungkin dia hendak berjihad di sana,” katanya selepas menyempurnakan majlis graduasi peserta kursus 'Service Excellence Delivery In Action' di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.
Sebelum ini, media Filipina melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia ditahan di pelabuhan Maluso ketika cuba menyelinap masuk ke Malaysia, awal bulan ini.
Menurut laporan berkenaan, pihak berkuasa negara itu sedang menyiasat sama ada suspek diberi latihan oleh tentera Abu Sayyaf kerana ketika ditahan, pihaknya turut menemui bahan membuat bom.