Rakyat Malaysia ditahan bawa dadah di lapangan terbang di Medan

Bernama
Ogos 7, 2016 15:20 MYT
Indonesia melaksanakan hukuman tembak mati bagi kesalahan mengedar dadah. - Gambar fail
Seorang rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Kuala Namu di Medan, Sumatera Utara petang semalam setelah didapati membawa 1,025 gram dadah sintetik dalam poket seluarnya.
Media tempatan hari ini memetik Ketua Polis Daerah Deliserdang Robert Da Costa sebagai berkata, lelaki berusia 27 tahun itu berasal dari Pulau Pinang dan tiba dengan menaiki pesawat tambang rendah dari negeri itu.
Katanya, pasukan pengawal keselamatan Lapangan Terbang Kuala Namu mengesyaki sesuatu apabila lelaki terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan untuk melepasi bahagian pemeriksaan.
Beliau berkata setelah membuat pemeriksaan tubuh, mereka menemukan 10 paket dadah yang dibungkus dalam sarung kaki dan disembunyikan dalam poket seluar lelaki terbabit.
"Hasil pemeriksaan mendapati dadah itu dipercayai jenis methampetamine seberat 1,025 gram dan lelaki itu kini ditahan untuk siasatan," katanya.
Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai membawa dadah itu untuk dijual kepada seseorang di sebuah hotel di Kota Medan, katanya.
Indonesia melaksanakan hukuman tembak mati bagi kesalahan mengedar dadah.
Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini mengisytiharkan Indonesia sebagai darurat dadah dan mengarahkan pihak berkuasa untuk lebih agresif memerangi dadah.
#Dadah #lapangan terbang #Medan
;